Bomba Kedah nafi kenderaan tular guna identiti ‘Bomba’ milik jabatan | The Reporter

Bomba Kedah nafi kenderaan tular guna identiti ‘Bomba’ milik jabatan

Kenyataan media JBPM Kedah berhubung kenderaan persendirian tular yang menggunakan identiti Bomba dan lampu amaran khas.
Tangkap layar video tular memaparkan sebuah kenderaan persendirian menggunakan tulisan ‘Bomba’ serta dilengkapi lampu amaran khas yang disahkan bukan milik JBPM Kedah.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kedah mengesahkan sebuah kenderaan persendirian yang tular di media sosial kerana menggunakan identiti ‘Bomba’ bukan milik jabatan berkenaan.

JBPM Kedah dalam kenyataan media pada Selasa memaklumkan, pihaknya mengambil maklum mengenai penularan video yang memaparkan sebuah kenderaan persendirian menggunakan tulisan ‘Bomba’ serta dilengkapi lampu amaran khas (beacon light).

Menurut kenyataan itu, hasil semakan mendapati kenderaan terbabit tidak tersenarai sebagai kenderaan rasmi JBPM mahupun mana-mana Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di negeri berkenaan.

“Pihak jabatan sedang mengambil tindakan lanjut berhubung perkara ini.

“JBPM Negeri Kedah memandang serius sebarang penggunaan identiti jabatan yang boleh mengelirukan orang awam serta menjejaskan imej dan kredibiliti perkhidmatan kebombaan,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung kejadian berkenaan.

JBPM Kedah turut menegaskan kepentingan kerjasama masyarakat dalam memastikan setiap maklumat yang disebarkan adalah tepat dan sahih bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan orang awam.

Pada masa sama, jabatan berkenaan merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang prihatin dan menyalurkan maklumat berkaitan isu tersebut.

“JBPM Negeri Kedah sentiasa komited dalam memelihara integriti dan profesionalisme jabatan serta memastikan kepercayaan masyarakat terhadap perkhidmatan kebombaan terus terpelihara,” menurut kenyataan itu

Related Posts