'Kalau tak tahu fakta, lebih baik diam' - Muhammad Lutfi bidas Syed Saddiq | The Reporter

‘Kalau tak tahu fakta, lebih baik diam’ – Muhammad Lutfi bidas Syed Saddiq

Bekas Menteri Perdagangan Indonesia, Muhammad Lutfi membidas kenyataan Syed Saddiq berhubung isu jerebu rentas sempadan.
Bekas Menteri Perdagangan Indonesia, Muhammad Lutfi membidas kenyataan Syed Saddiq berhubung isu jerebu rentas sempadan.

Bekas Menteri Perdagangan Indonesia, Muhammad Lutfi membidas kenyataan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung isu jerebu rentas sempadan, sambil mengingatkan supaya seluruh rakyat Indonesia tidak dipersalahkan atas tindakan syarikat yang terlibat dalam kebakaran hutan.

Menerusi hantaran di media sosial, Lutfi menyifatkan cadangan untuk meningkatkan tekanan diplomatik terhadap Indonesia serta menyekat pembiayaan bank Malaysia sebagai pendekatan yang tidak mengambil kira kepentingan pelaburan antara kedua-dua negara.

Beliau menegaskan tindakan terhadap syarikat yang melakukan kesalahan perlu diutamakan berbanding mengecam keseluruhan negara yang mempunyai kira-kira 280 juta penduduk itu.

“Jika sesebuah syarikat, sama ada dari Indonesia atau Malaysia, bertanggungjawab melakukan kesalahan, dakwa syarikat berkenaan.

“Tetapi jangan menghina seluruh negara dan jangan sekali-kali menganggap Indonesia sebagai negara yang perlu dipulaukan.

“Jika tidak mengetahui fakta sebenar, lebih baik berdiam diri dan duduk,” katanya.

Kecewa negara diperlekehkan

Lutfi turut meluahkan rasa kecewa apabila negaranya didakwa diperlekehkan oleh ahli politik semata-mata untuk meraih keuntungan politik ketika berbahas di Parlimen.

Menurutnya, perbincangan mengenai kebakaran hutan sepatutnya menumpukan kepada syarikat yang menjalankan operasi perladangan dan bukannya menyasarkan seluruh rakyat Indonesia.

Mengulas lanjut, beliau mendakwa kumpulan perladangan Malaysia menguasai konsesi kelapa sawit seluas sehingga 3.4 juta hektar di Indonesia selepas memperoleh lesen pelaburan serta insentif pengecualian cukai daripada kerajaan negara itu.

Katanya, syarikat Malaysia tidak datang ke Indonesia atas dasar kebajikan, sebaliknya untuk mengembangkan perniagaan dan memperoleh keuntungan daripada peluang pelaburan yang tersedia.

“Syarikat Malaysia tidak datang ke Indonesia untuk melakukan kerja amal. Mereka datang untuk terus bertahan dan menjana keuntungan.

“Mereka melihat tanah yang subur dan peluang untuk mengembangkan operasi, kemudian memohon lesen pelaburan,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa risiko alam sekitar daripada operasi perladangan ditanggung Indonesia, manakala minyak sawit mentah yang dihasilkan dieksport ke Malaysia untuk diproses sebelum dipasarkan ke negara lain, termasuk Eropah.

Menurutnya, keadaan itu membolehkan kumpulan perladangan Malaysia memperoleh keuntungan daripada operasi di Indonesia, dengan sebahagian keuntungan direkodkan di ibu pejabat masing-masing di Kuala Lumpur.

Pertiaki gesaan bank hentikan pembiayaan

Dalam masa sama, beliau mempertikaikan gesaan supaya bank Malaysia menghentikan pembiayaan ke Indonesia kerana institusi kewangan terbabit turut membiayai syarikat Malaysia yang memperoleh aset perladangan di negara berkenaan.

“Bank Malaysia bukan sekadar memberikan pinjaman kepada ahli perniagaan Indonesia. Mereka membiayai syarikat Malaysia yang membeli aset perladangan di Indonesia,” katanya.

Beliau turut merujuk laporan Greenpeace bertarikh 5 Oktober yang menurutnya mengenal pasti lima titik panas kebakaran dalam kawasan konsesi yang dikaitkan dengan syarikat perladangan Malaysia, termasuk Kuala Lumpur Kepong (KLK).

Bagaimanapun, penemuan titik panas tidak semestinya membuktikan sesebuah syarikat bertanggungjawab melakukan pembakaran secara sengaja.

Penahanan 223 suspek

Mengulas tindakan penguatkuasaan, Lutfi mendakwa pihak berkuasa Indonesia sudah menahan 223 suspek, mendakwa sembilan syarikat serta menggantung permit 26 syarikat berhubung kesalahan berkaitan kebakaran hutan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan mana-mana syarikat yang terbukti melanggar undang-undang perlu dikenakan tindakan tanpa mengira negara asal pemiliknya.

Terdahulu, Syed Saddiq ketika membahaskan isu jerebu di Dewan Rakyat menggesa tekanan diplomatik lebih tegas dilaksanakan di peringkat ASEAN bagi menangani masalah kebakaran hutan di Indonesia.

Beliau turut mencadangkan institusi kewangan Malaysia dan Singapura menyekat pembiayaan kepada syarikat yang dikaitkan dengan kegiatan pembakaran hutan sebagai langkah meningkatkan tekanan terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Bagaimanapun, Lutfi berpendapat pendekatan sedemikian perlu mengambil kira struktur pelaburan serantau serta penglibatan syarikat Malaysia sendiri dalam industri perladangan Indonesia.

Related Posts