Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Tujuh sekeluarga dilaporkan maut selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 5, Jalan Segamat – Kuantan, jam 6.30 petang, Jumaat, 1 September 2023.
Menurut laporan media tempatan, kejadian itu membabitkan lima kenderaan iaitu Perodua Alza, Bezza, Honda HRV, Proton Wira dan sebuah lori yang membawa muatan pasir.
Tujuh mangsa terdiri terdiri daripada seorang lelaki berusia 46 tahun, dua wanita, dua kanak-kanak perempuan berusia 10 dan 13 tahun maut di tempat kejadian. Manakala seorang lagi mangsa berusia 15 tahun meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital.
Pemandu lori dan dua lagi mangsa dalam Perodua Alza iaitu remaja lelaki 15 tahun dan kanak-kanak lelaki lima tahun turut mengalami kecederaan. Tiga wanita dewasa dalam Perodua Bezza pula dilaporkan selamat.
Mayat mangsa yang maut telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Daerah Segamat (HD) untuk tindakan lanjut. Mangsa-mangsa yang mengalami kecederaan juga dihantar ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan.
Lori bawa muatan pasir hilang kawalan
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila Honda HRV yang menghala ke Segamat dari Kuantan memperlahankan kenderaan kerana di hadapannya terdapat kerja pembaikan jalan.
Lori yang membawa muatan pasir di belakang pula gagal membrek lalu hilang kawalan sebelum merempuh belakang Honda HRV dan Proton Wira.
Lori yang sama kemudian masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh Perodua Alza yang dalam perjalanan pulang ke Segamat, dari Kluang.
Beliau mengesahkan mangsa-mangsa yang terkorban di lokasi kejadian adalah pemandu Alza, Amir Ruddin Ismail, 46, isterinya, orahimah Noor Muhamad, 43, Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10 dan Muhammad Assyakrawi, 5.
Manakala Abdullah Amir Ruddin, 15, pula disahkan meninggal dunia pada jam 4.15 petang tadi di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat.
Amir Ruddin adalah Imam di Masjid Ladang Tereh Utara, Kluang dan isterinya, Norahimah adalah guru Sekolah Agama Semedak.
Jenazah enam beranak itu telah selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di tanah Perkuburan Islam Masjid Ubuddiah, Parit Limbong, jam 4.15 petang Selasa.
Anak sulung terkejut, tak sangka jadi anak yatim piatu sekelip mata
Sementara itu, anak sulung pasangan itu, Abdur Rahman Amir Ruddin, 19, berkata, dia tidak menyangka dirinya akan menjadi anak yatim piatu sekelip mata. Sedangkan mereka semua baru saja bersua muka.
“Kami baru saja bersua muka sebelum mereka bertolak. Namun takdir Allah, saya kehilangan ahli keluarga sekali gus. Tidak terlintas di fikiran saya akan jadi anak yatim piatu sekelip mata,” katanya.
Menurut Abdur Rahman, pada hari kejadian dia tidak dapat turut serta dengan keluarganya dalam perjalanan menghantar ibunya yang mengajar di Sekolah Agama Kemedak, Segamat, kerana mempunyai urusan lain.
Sebaik saja tiba di Tangkak, Abdur Rahman menerima panggilan daripada saudara ibu yang memaklumkan keluarganya terbabit dalam kemalangan.
Sebelum berangkat, bapanya sempat berpesan supaya banyak bersedekah agar dimurahkan rezeki. Pesanan itu akan diingatinya sampai bila-bila.
Sumber: Harian Metro