687 kuil dibina tanpa kebenaran, Sultan Selangor gesa patuhi undang-undang | The Reporter

687 kuil dibina tanpa kebenaran, Sultan Selangor gesa patuhi undang-undang

687 kuil dibina tanpa kebenaran, Sultan Selangor gesa patuhi undang-undang dan kelulusan sah.
Sultan Selangor menegaskan kepentingan pematuhan undang-undang dalam pembinaan rumah ibadat demi keharmonian masyarakat. | Gambar: FB Selangor Royal Office

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Istana Selangor dalam satu kenyataan akhbar memaklumkan bahawa sebanyak 687 buah kuil Hindu di negeri ini dikenal pasti dibina tanpa kebenaran sehingga 31 Januari 2026. Statistik itu telah dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan menjadi antara perkara utama yang diberi perhatian susulan kebimbangan terhadap implikasi pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan sah.

Daripada jumlah tersebut, 388 buah kuil dibina di atas tanah milik kerajaan, manakala 299 buah lagi berada di atas tanah persendirian. Angka itu tidak termasuk kuil-kuil yang telah memperoleh kelulusan rasmi daripada pihak berkuasa negeri, dan dinyatakan sebagai tinggi berbanding anggaran populasi masyarakat India beragama Hindu di Selangor yang sekitar 11.3 peratus.

Selari dengan Pendirian Kerajaan Persekutuan

Pendirian berhubung isu berkenaan adalah selari dengan ketetapan Kerajaan Persekutuan yang tidak membenarkan pembinaan mana-mana rumah ibadat dilakukan tanpa mematuhi peraturan serta undang-undang yang berkuat kuasa. Perkara itu ditegaskan semula selepas Perdana Menteri menghadap Sultan Selangor baru-baru ini, susulan kenyataan rasmi kerajaan mengenai keperluan pematuhan perundangan dalam semua bentuk pembangunan.

Dalam pertemuan tersebut, pendirian kerajaan turut menekankan bahawa setiap pembangunan perlu dilaksanakan secara teratur, mematuhi prinsip tadbir urus yang baik serta selaras dengan perancangan bandar yang mampan dan tersusun.

Baca juga:

Keharmonian masyarakat terus diutamakan

Sebagai Ketua Agama Islam di Negeri Selangor, Sultan Selangor sentiasa menitikberatkan kepentingan menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama. Dalam kenyataan akhbar berkenaan, ditegaskan bahawa setiap rumah ibadat perlu dibina berdasarkan permohonan yang sah, mendapat kelulusan kerajaan serta pihak berkuasa tempatan (PBT), selain mematuhi semua garis panduan perundangan yang ditetapkan.

Sebarang pembinaan tanpa kelulusan, khususnya yang melibatkan pencerobohan tanah kerajaan atau persendirian, berpotensi mencetuskan pertelingkahan antara penganut agama serta menimbulkan risiko terhadap keselamatan dan ketenteraman awam.

Pemantauan dan penguatkuasaan diperkukuh

Kerajaan negeri dan PBT turut diingatkan supaya meneliti setiap permohonan pembinaan rumah ibadat secara telus, adil dan tersusun tanpa mengetepikan peruntukan undang-undang sedia ada. Aspek pemantauan juga perlu diperkasakan bagi membanteras serta mengawal pembinaan tanpa kebenaran di seluruh Selangor.

Istana Selangor menegaskan bahawa isu pembinaan kuil tanpa kebenaran ini perlu ditangani dan dimuktamadkan secara berhemah kerana ia telah lama menimbulkan keresahan pelbagai pihak serta memberi kesan terhadap keselamatan dan keharmonian masyarakat.

Sumber: Istana Selangor

Related Posts