Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seramai 60 individu termasuk tiga pelajar yang disebut di media sosial sebagai ‘Kak Wana’, ‘Kak Dedeng’ dan ‘tomboi’ telah diambil keterangan bagi membantu siasatan kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, di sebuah sekolah agama di Papar baru-baru ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, siasatan kini berada di peringkat akhir dan kertas siasatan telah diserahkan ke Bukit Aman untuk penelitian sebelum dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.
“60 saksi ini melibatkan pelajar, ibu bapa dan kakitangan sekolah. Tiga nama yang didakwa di media sosial juga telah diambil keterangan sebagai pelajar,” katanya.
Sebelum ini, kematian Zara mendapat perhatian meluas di media sosial selepas tiga nama pelajar dikaitkan dengan kes berkenaan.
Mengulas lanjut, Jauteh tidak menolak kemungkinan wujud unsur buli dalam kejadian tersebut.
“Siasatan menjurus kepada dua elemen iaitu punca kematian dan juga persekitaran. Kita tidak menolak kemungkinan dakwaan buli berdasarkan siasatan yang dilaksanakan,” katanya.
Baca juga:
- Kerajaan mungkin pertimbang potong gaji menteri jika ekonomi semakin mencabar
- Isu aurat dalam tahanan: Muslimat PAS gesa penambahbaikan segera
- Kisah ‘Mahasiswa Abadi’: Tesis didakwa diambil rakan, Dessy kini alami tekanan mental
Tiada anak VIP terlibat
Jauteh turut menafikan dakwaan bahawa kes melibatkan anak orang kenamaan termasuk anaknya sendiri.
“Saya tegaskan, tiada anak saya yang pernah atau sedang bersekolah di sekolah itu. Jadi dakwaan seperti itu hanya menimbulkan persepsi tidak sihat,” katanya.
Siasatan telus dan jaga emosi pelajar
Menjawab persoalan orang ramai mengenai tempoh siasatan yang dianggap lama, Jauteh menjelaskan ia dibuat secara telus dan profesional, dengan mengambil kira faktor emosi para pelajar yang terlibat.
“Netizen mahu siasatan telus dan menyeluruh. Tapi kita perlu ingat, saksi-saksi adalah pelajar yang mungkin mengalami trauma. Jadi kita ambil pendekatan berhemah dibantu pakar kaunseling,” katanya.
Jelas beliau, kejadian berlaku pada 16 Julai dan mangsa meninggal dunia keesokan harinya. Siasatan segera digerakkan dengan bantuan pasukan khas dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.
“Kita sudah siapkan kertas siasatan dan kini diserahkan kepada pihak Bukit Aman untuk penelitian serta pandangan lanjut,” tambah beliau.
Sumber: Sinar Harian








