'4 tahun kami berkahwin, akhirnya saya dimadukan' - Suami dakwa dimadukan isterinya, sedangkan mereka tak pernah bercerai | The Reporter

‘4 tahun kami berkahwin, akhirnya saya dimadukan’ – Suami dakwa dimadukan isterinya, sedangkan mereka tak pernah bercerai

Seorang peniaga berusia 47 tahun tidak menyangka dia ‘dimadukan’ oleh isterinya apabila perkahwinan kedua wanita itu pada April lalu diketahui oleh suami pertama.

Rahaman Mohamed Jaafar berkata, dia mendirikan rumah tangga dengan wanita berusia 32 tahun itu pada Januari 2019 di Narathiwat. Namun, isterinya tiba-tiba menghilangkan diri selepas keluar dari rumah, pada bulan yang sama.

“Saya mendapat tahu melalui media sosial pada April lalu yang dia telah berkahwin (lagi), sedangkan saya tidak pernah menceraikannya. Kami masih suami isteri.

“Selepas membuat semakan, saya mendapati isteri ada membuat permohonan untuk berkahwin dengan lelaki lain berusia 42 tahun di Pejabat Agama Besut, Terengganu pada April lalu.

Rahaman mengesyaki wanita itu menggunakan surat cerai dengan suaminya terdahulu sebelum berkahwin dengannya.

Ekoran itu, Rahaman tampil memfailkan tuntutan faraq nikah di antara isterinya dengan suami kedua. Mahkamah turut memerintah wanita berkenaan bersama suami keduanya difaraqkan sementara.

Pasangan itu tidak dibenarkan tinggal sebumbung sebagai suami isteri, sehingga kes itu selesai dibicarakan.

Terdahulu, Rahaman hadir di Mahkamah Rendah Syariah Tanah Merah untuk prosiding lafaz cerai talak tiga yang difailkan isterinya. Peniaga itu diberi tempoh selama 14 hari untuk membuat sumpah laknat bagi menafikan dakwaan isterinya.

Rahaman menegaskan dia tidak pernah membuat lafaz cerai terhadap isteri dan mereka sehingga kini masih suami isteri.

“Saya sangat kecewa dengan tindakan isteri. Empat tahun kami berkahwin, baru beberapa bulan saya mendapat sijil nikah, namun akhirnya saya ‘dimadukan’,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Related Posts