36 jam berlalu, Hud Aryan masih belum ditemui | The Reporter

36 jam berlalu, Hud Aryan masih belum ditemui

Operasi mencari Hud Aryan di Kampung Aira Kuala Tiga dengan bantuan anjing pengesan K9.
Pasukan SAR meneruskan operasi mencari Hud Aryan yang masih belum ditemui selepas 36 jam.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Pencarian Hud Aryan Mohd Nor Hafifi, bayi lelaki berusia 19 bulan yang dilaporkan hilang dari rumahnya di Kampung Aira Kuala Tiga, Tanah Merah, memasuki hari ketiga tanpa sebarang petunjuk positif. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan pagi ini dengan bantuan dua anjing pengesan dari Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Mohd Zulkifli Osman memaklumkan bahawa operasi yang disambung pada jam 9 pagi hari ini diharap dapat menemukan sebarang petunjuk.

“Sehingga kini, tiada kesan tapak kaki atau pakaian yang dapat dikaitkan dengan Hud Aryan. Hari ini, kami menggunakan bantuan dua anjing pengesan yang tiba pada jam 6.30 petang semalam,” katanya.

Operasi yang bermula sejak malam Hud dilaporkan hilang turut disertai oleh penduduk kampung.

“Kami tidak menambah anggota kerana ramai penduduk kampung turut serta dalam pencarian,” tambahnya.

Kehilangan Hud Aryan disedari pada jam 7.20 malam oleh ahli keluarga apabila kanak-kanak itu tiada di dalam rumah. Ibunya, Azean Nur Atikah, sebelum itu memberi makan kepada anak tunggalnya sebelum masuk ke dapur. Seorang saudara yang datang berkunjung bertanya tentang Hud, dan barulah mereka menyedari kanak-kanak itu tiada di rumah.

Azean Irdawati Ramley, ibu saudara Hud, berkata pintu pagar rumah ditemui dalam keadaan terbuka.

“Kami mencari di sekitar parit di hadapan rumah dan kawasan hutan sekeliling, namun masih belum ada petunjuk. Hud baru saja pandai berjalan dan memang aktif, jadi kami bimbang dia mungkin menuju ke parit,” jelasnya.

Keluarga turut mengadakan solat hajat di rumah dan masjid kampung sejak malam kehilangan Hud, berharap agar pencarian dipermudahkan. Azean Suhaily Ramley, ibu saudara Hud yang lain, berkata, “Kami tidak putus harapan dan berdoa Hud ditemukan walau apa cara sekalipun.”

Operasi SAR diteruskan dengan bantuan anjing pengesan Unit K9 di kawasan sekitar rumah dan hutan berdekatan. Penduduk kampung juga giat membantu mencari di kawasan parit yang dipercayai menjadi tempat Hud bermain.

Sumber: Harian Metro

Related Posts