Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Baru-baru ini tular video yang memaparkan sekumpulan individu yang bertindak menurunkan bendera Jalur Gemilang dan digantikan dengan bendera Sabah dan Sarawak.
Difahamkan, kejadian tersebut berlaku di Melbourne, Australia.

Susulan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan bawah Akta Hasutan 1948 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penularan video berkenaan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata sebanyak 35 laporan diterima, 34 daripadanya di Sabah manakala satu lagi laporan di Kuala Lumpur.
Beliau berkata, video berkenaan kononnya sebagai simbolik penamatan ‘penjajahan’ Malaysia ke atas kedua-dua negeri itu serta menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai republik.
Razarudin berkata, hasil siasatan juga mendapati video itu disyaki ditularkan oleh pemilik akaun media sosial beralamat di Sabah yang memiliki dua rekod jenayah membabitkan Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Individu berkenaan katanya sedang dibicarakan di mahkamah Kota Kinabalu tetapi dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM3,000 sementara menunggu sebutan semula kes pada November depan.
“Kita sedang menyiasat hubungan antara suspek dengan individu yang dirakam melakukan perbuatan berkenaan (menurunkan bendera),” katanya.
Sumber: Bernama








