Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Dua pereka fesyen, Razman dan Razmi, dilaporkan mengalami kecederaan di muka selepas diserang seorang jurugambar dalam kejadian yang berlaku pada acara anugerah di sebuah hotel malam tadi.
Kedua-dua pereka fesyen yang dikenali sebagai duo Razman Razmi, turut dikenali sebagai pereka busana untuk usahawan sensasi Datuk Seri Vida bagi acara tersebut, telah dipukul menggunakan kamera oleh jurugambar lelaki terbabit.
Insiden berlaku ketika wartawan sedang menemubual Vida. Ketika itu, jurugambar tersebut secara tiba-tiba bertindak agresif dengan menyerang dan memukul kedua-dua pereka fesyen berkenaan menggunakan kamera miliknya.
Akibat serangan itu, Razman dan Razmi mengalami luka di bahagian pipi dan menerima rawatan kecemasan di tempat kejadian. Pihak penganjur kemudian bertindak membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.
Difahamkan, insiden tersebut dipercayai berpunca daripada masalah peribadi antara jurugambar dan pereka fesyen berkenaan.
Alami trauma
Sementara itu, Datuk Seri Vida, yang turut berada di lokasi kejadian, meluahkan rasa terkejut dengan insiden itu dan mengakui bahawa dia mengalami trauma melihat insiden tersebut secara langsung.
“Saya sangat terkejut dengan kejadian tersebut. Kepala saya jadi sakit kerana tidak boleh melihat perkara seperti itu berlaku di depan mata. Pada mulanya, saya ingatkan ia hanya gurauan.
“Lagipun, saya memang kenal mereka berdua, jadi tak sangka perkara seperti ini boleh berlaku. Insiden itu berlaku dengan sangat pantas. Saya tidak tahan melihat luka di muka mereka yang berdarah,” katanya.
Vida turut meluahkan rasa kecewa dengan tindakan jurugambar terbabit yang dianggap tidak bertanggungjawab.
“Jika ada masalah, kenapa tidak dibincangkan dengan baik? Kenapa perlu bertindak begini di hadapan orang ramai, lebih-lebih lagi di acara besar seperti ini? Banyak cara yang lebih baik untuk menyelesaikan masalah tanpa menganiaya orang lain,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar, mengesahkan pihaknya telah menerima laporan mengenai kejadian itu. Beliau memaklumkan bahawa kes tersebut masih dalam siasatan.
Sumber: Harian Metro








