Semalam media melaporkan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dirogol oleh dua lelaki warga Rohingya selepas dibawa bersiar-siar.
Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang didakwa secara berasingan di Mahkamah Sesyen dan Majistret Ayer Keroh hari ini, membuat pengakuan tidak bersalah terhadap pertuduhan jenayah seksual, termasuk rogol dan seks luar tabii terhadap mangsa.
Tertuduh, Mohamad Osman Boshor, 27, dan pelajar sekolah swasta terbabit mengaku tidak bersalah. Mereka meminta untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail dan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Osman didakwa merogol dan menyerang mangsa secara seksual tanpa kerelaannya. Kejadian itu berlaku di dalam Proton Preve di kawasan lapang Pantai Klebang, pada jam 5.30 petang, 14 September.
Manakala, tertuduh remaja Rohingya itu pula didakwa melakukan amang seksual fizikal (peluk, cium pipi dan bibir) dan melakukan persetubuhan luar tabii (memasukkan zakar ke dalam mulut) terhadap mangsa pada waktu dan tempat yang sama.
Pihak Pendakwaan (Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Nazrin Ali Rahim dan Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal) tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan yang dilakukan itu tidak boleh dijamin.
Namun, peguam kepada kedua-dua tertuduh, Omar Zulkarnain dan Mohamed Musthafa merayu budi bicara mahkamah untuk membenarkan jaminan.
Hakim dan Majistret kemudian membenarkan tertuduh masing-masing dilepaskan dengan jaminan RM20,000 dan RM3,000, berserta seorang penjamin. Mereka juga dilarang menghubungi dan mengganggu mangsa serta keluarga.
31 Oktober depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia dan perubatan penuh mangsa serta serahan dokumen.