Dua anggota polis dari Unit Kereta Peronda (MPV), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, telah ditahan kerana terlibat dalam kes samun dan rogol yang menimpa remaja perempuan, di Bukit Ampang, Ampang Jaya, malam Selasa lalu.
Menurut laporan, kejadian itu berlaku pada jam 9.45 malam di mana kedua-dua suspek sedang bertugas melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kereta Volkswagen Golf milik seorang lelaki tempatan berusia 18 tahun dan seorang wanita warga Uzbekistan, 17, di dalamnya di Bukit Ampang.
Peras RM500
Suspek kemudiannya didakwa mengarahkan mangsa untuk membayar RM500 dengan alasan lelaki tersebut akan ditahan dan dibawa ke balai polis jika gagal membayar wang tunai sebanyak RM2,000 atas tuduhan melakukan kesalahan lalu-lintas.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mendedahkan, kedua-dua suspek telah membawa mangsa ke lokasi yang berbeza sebelum melakukan samun dan rogol.
“Salah seorang suspek dipercayai membawa mangsa lelaki ke sebuah bank di Taman Muda, Ampang, untuk mengeluarkan wang,” katanya.
Mengikut laporan penangkapan yang tular, mangsa diarahkan masuk ke tempat duduk belakang kereta peronda oleh seorang lagi suspek dan dibawa ke sebuah kawasan lain. Semasa dalam kenderaan itu, suspek telah memaksa mangsa melakukan perkara yang tidak diingini sebanyak tiga kali sebelum merogolnya.
Mangsa kemudian dibawa semula ke lokasi asal dan memberitahu rakannya bahawa dia telah dirogol oleh suspek. Ekoran itu, kedua-dua mereka tampil membuat laporan polis.
Bertindak di atas laporan itu, polis telah menahan kedua-dua suspek (seorang bujang, seorang lagi sudah berumah tangga dan punyai dua orang anak) pada jam 6 petang semalam dan direman selama seminggu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 395/397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda atau sebat.
Mangsa yang juga anak kedua dari empat beradik, telah dibawa ke Hospital Ampang untuk menjalani pemeriksaan.
Forensik temui cecair
Sementara itu menurut maklumat daripada sumber lain, pegawai Forensik Bukit Aman berjaya menemuikan beberapa kesan DNA dipercayai tompokan air mani dan darah, ketika melakukan pemeriksaan dalam kereta peronda tersebut. Turut ditemui, tiga keratan kain di tempat duduk belakang.
Kesemua sampel yang ditemui itu akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk menjalani perbandingan DNA selepas sampel darah suspek diambil.
Sumber: Berita Harian, Telegram Edisi Siasat