Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Tular video menunjukkan dua anggota polis disyaki melakukan pemerasan wang dari seorang lelaki warga asing dalam kejadian yang berlaku di Jalan Taming Sari, Kajang.
Berdasarkan video tersebut, salah seorang anggota meminta lelaki itu meletakkan sesuatu di dalam bakul motosikalnya. Selepas berbuat demikian, anggota berkenaan pula dilihat memulangkan sesuatu yang dipercayai dokumen kepada lelaki itu.
Warga asing berkenaan kemudian memapah seorang wanita dipercayai pasangannya yang berada dalam keadaan tidak sihat. Dan dua anggota terbabit beredar dari lokasi itu.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan pihaknya ada menerima laporan polis yang dibuat oleh seorang lelaki warga asing berhubung video tular itu.
Bertindak di atas laporan, pihaknya telah menahan reman dua anggota polis terbabit yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.
Tegas beliau, Polis Kontinjen Selangor tidak akan melindungi mana-mana pegawai dan anggotanya yang didapati melakukan kesalahan jenayah, serta memberi jaminan siasatan akan dilakukan dengan telus.
Sumber: Harian Metro, Edisi Siasat








