Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Jumaat lalu, dua anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tuduhan pemerasan terhadap seorang warga asing.
Koperal Nik Ridzuan Nik Man, 39, dan Konstabel Muhammad Najmi Mohd Khodri, 27, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nurul Hafzan Ab Aziz.
Kedua-dua anggota polis tersebut didakwa telah melakukan pemerasan dengan menakut-nakutkan Wai Lin Phyo, 29, sehingga mangsa menyerahkan wang sebanyak RM300.
Perbuatan itu didakwa berlaku di tepi jalan Taming Sari 1, Balakong, pada jam 11.30 pagi, 28 Julai lalu.
Dalam prosiding tersebut, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Husna Amran, mencadangkan agar setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000.
Namun, peguam yang mewakili tertuduh, Muhamad Wafiq Hadie dan Mohd Fikah Sanusi, memohon agar jumlah jaminan dikurangkan kerana anak guam mereka perlu menanggung anak dan isteri, selain menghidap penyakit darah tinggi.
Majistret Nurul Hafzan kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin. Mahkamah juga menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 3 September depan.
Isnin lalu, polis telah menahan kedua-dua anggota polis terbabit untuk membantu siasatan selepas kes itu mendapat perhatian umum setelah video kejadian itu tular di media sosial.
Sumber: Sinar Harian








