Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pada 1 Februari 2024, sejumlah 131 tahanan etnik Rohingya telah melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor (DISB) dalam kejadian jam 9.50 malam.
Dalam kejadian itu, salah seorang daripada tahanan tersebut dilaporkan maut akibat kemalangan yang berlaku di KM335 Lebuhraya Utara-Selatan, berhampiran Bidor.
Semalam, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang melakukan siasatan memaklumkan, tahanan Rohingya mendakwa beberapa pegawai JIM telah melakukan kekerasan dan penderaan terhadap mereka sejak tahun 2020 hingga 2021, ketika ditahan di Kem Wawasan Langkawi sebelum dipindahkan ke beberapa depot imigresen, termasuk DISB.
“Beberapa pegawai JIM di DISB, termasuk dua pegawai yang sebelumnya bertugas di Kem Wawasan Langkawi sebelum ditukarkan, telah didapati melakukan kekerasan yang ekstrem serta penderaan fizikal dan mental terhadap tahanan Rohingya sehingga mengakibatkan kecederaan,” jelas EAIC.
“EAIC menjalankan siasatan berdasarkan aduan yang diterima dan telah membuat laporan polis mengenai isu kekerasan dan penderaan terhadap tahanan di DISB dan Kem Wawasan Langkawi, agar siasatan lanjut dapat dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM),” tambah mereka.
EAIC juga mengenal pasti tiga faktor lain yang menyumbang kepada insiden melarikan diri di DISB, termasuk ketidakpekaan pegawai JIM dan anggota RELA terhadap keadaan sekeliling, kelemahan infrastruktur bangunan DISB yang tidak memenuhi standard depot tahanan, serta kegagalan pegawai kanan dan penyelia dalam memantau dan mengawal situasi semasa insiden itu.
Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban menegaskan pihaknya memandang serius dengan hasil siasatan EAIC yang mendapati terdapat unsur kekerasan dan penderaan terhadap tahanan oleh beberapa pegawai JIM dari tahun 2020 hingga 2021.
JIM tidak akan bertoleransi terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa oleh pegawai-pegawai. Dan jika terbukti terdapat unsur kekerasan dan penderaan, tindakan tegas akan diambil terhadap pegawai berkenaan mengikut undang-undang yang sedia ada.
Sumber: Harian Metro








