Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seramai 13 lelaki, termasuk seorang warga emas dan penuntut universiti awam, ditahan dalam satu serbuan ke atas sebuah pusat sauna di Jalan Perai Jaya, malam semalam selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan hubungan songsang.
Serbuan kira-kira jam 7 malam itu dijalankan Pasukan Bahagian D7 (Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah dengan kerjasama Unit Operasi Pelesenan, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
Hasil pemeriksaan dalam operasi berkenaan mendapati beberapa lelaki di tingkat dua premis sedang menggunakan kemudahan sauna dengan hanya memakai seluar dalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris, berkata tangkapan membabitkan sembilan lelaki tempatan serta dua warga asing dari Thailand dan China berusia antara 19 hingga 66 tahun.
Selain itu, dua lelaki tempatan berusia 57 dan 59 tahun yang dipercayai penjaga dan pengusaha premis turut ditahan.
“Pemeriksaan menemui kondom, minyak pelincir dan beberapa peralatan lain yang dipercayai digunakan untuk kegiatan tidak bermoral tersebut,” katanya.
Beroperasi lima tahun, aktiviti songsang aktif dua bulan
Premis itu yang beroperasi di tingkat pertama dan kedua bangunan kedai tiga tingkat itu dipercayai telah menjalankan operasi biasa sejak lima tahun lalu, namun hanya mula menarik pelanggan untuk kegiatan tersebut sejak dua bulan kebelakangan ini.
Difahamkan, pelanggan dikenakan bayaran masuk RM35.
Baca juga:
- Bekas wartawan FMT Rex Tan ditahan susulan soalan kontroversi
- Kerajaan tarik balik bantuan STR & SARA selepas lelaki ini kantoi miliki enam hartanah
- ‘Tolong beritahu Presiden kamu, kami hanya ada minyak masak’ – Komen lucu rakyat Malaysia
Ujian air kencing negatif, satu rekod lampau
Hasil saringan air kencing mendapati semua suspek negatif bahan terlarang. Semakan lanjut mendapati seorang daripada mereka mempunyai satu rekod jenayah lampau.
Kes disiasat mengikut Seksyen 373/377B, Seksyen 377B dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.Semua suspek direman enam hari sehingga 5 Disember bagi membantu siasatan.
Sehubungan dengan itu juga, polis menyeru orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya menyedari kewujudan sebarang aktiviti tidak bermoral bagi membolehkan tindakan tegas diambil.
Sumber: Berita Harian, Sinar Harian








