Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seramai 108 pelanggan mengalami keracunan makanan selepas dipercayai makan ayam tandoori di sebuah restoran makanan di Pengkalan Chepa pada Khamis lalu.
Berikutan itu, premis berkenaan ditutup mengikut Seksyen 18 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit 1988 [Akta 342] pada Sabtu lalu.
Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin, berkata 18 daripada mangsa dimasukkan ke hospital kerajaan dan swasta dengan sembilan dibenarkan pulang, manakala 50 orang menerima rawatan sebagai pesakit luar dan selebihnya tidak mendapatkan rawatan namun dalam keadaan stabil.
Jelasnya, siasatan mendapati semua kes mempunyai sejarah memakan ayam di restoran berkenaan pada 17 Oktober lalu.
“Pemeriksaan premis makanan itu dijalankan pada jam 8.30 malam 19 Oktober lalu dan menemui 18 pengendali makanan di situ.
“Sebanyak 16 sampel sudah diambil termasuk sampel klinikal pesakit, pengendali makanan dan persekitaran,” katanya.
Difahamkan, kejadian yang berlaku 17 Oktober itu merupakan kejadian berulang selepas kejadian pertama pada Januari lalu dilaporkan.
Sumber: Berita Harian








