Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Sebuah zoo di China mencetuskan kontroversi selepas didakwa mengecat keldai dengan belang hitam dan putih supaya kelihatan seperti zebra bagi menarik lebih ramai pelawat.
Zoo di Taman Hiburan Zibo City, wilayah Shandong, menjadi perhatian ramai selepas gambar haiwan itu tular di internet sejak awal Februari. Dalam gambar yang dikongsi, seorang pekerja zoo dilihat berdiri di sebelah keldai yang badannya dipenuhi belang hitam putih yang kelihatan ‘terlalu sempurna’ menyebabkan netizen mula berasa curiga.
Selepas menerima banyak kritikan di media sosial, pihak zoo akhirnya tampil mengakui bahawa mereka melakukannya sebagai strategi pemasaran dan bukan sesuatu yang serius.
“Pemilik zoo hanya buat sekadar suka-suka,” kata seorang pekerja zoo kepada media.
Namun, tindakan itu tetap mendapat kecaman ramai kerana dianggap tidak beretika dan mengelirukan pelawat.
“Ia tak adil untuk haiwan dan juga pengunjung,” kata seorang pengguna di Douyin, platform media sosial China.
Ada yang percaya pekerja zoo menggunakan pita pelekat untuk membentuk corak belang, sementara yang lain mengesyaki mereka menggunakan pewarna khas. Pihak zoo kemudiannya mengesahkan mereka sememangnya menggunakan pewarna tetapi menegaskan ia tidak berbahaya kepada haiwan.
Walaupun begitu, netizen terus mengecam tindakan itu, malah ada yang menyindir hasil ‘penyamaran’ tersebut.
“Mereka buat kerja tak kemas langsung,” komen seorang pengguna Facebook.
“Belang tu nampak macam corak piñata,” seloroh seorang lagi netizen. – Agensi