Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Zayn Rayyan Abdul Matiin, 11, yang dilaporkan hilang sejak tengah hari Selasa, 5 Disember 2023, telah ditemui dalam keadaan tidak bernyawa.
Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abd Hamid berkata, mayat kanak-kanak Autisme itu ditemui di kawasan sungai pada jam 10 malam tadi, kira-kira 100 meter dari kawasan kediamannya, Apartmen Idaman, Damansara Damai.
Penemuan mayat mangsa hasil kerjasama anggota polis Petaling Jaya serta 60 penduduk Apartment Idaman yang melakukan operasi mencari mangsa.
Mangsa dilaporkan hilang sejak tengah hari Selasa, selepas dijemput pulang dari sekolahnya di SK Damansara Damai 2 (SKDD2).
Dalam perjalanan pulang, mangsa dikatakan meragam secara tiba-tiba dan mahu bermain buaian. Ibunya, Ismarina akur dan membenarkan anaknya bermain seketika sebelum dipujuk naik ke rumah.
Dalam perjalanan balik, ibunya yang membawa beg dan barang basahan yang baru dibeli dan Zayn pula mengekorinya dari belakang. Baru beberapa langkah, wanita itu menyedari anaknya sudah tiada lalu bergegas mencarinya di kawasan sekitar.
Gagal mencari keberadaan anaknya, dia terus memaklumkan kehilangan Zayn kepada suami dan penduduk yang kemudian melakukan gerakan mencari mangsa sebelum disertai oleh pihak polis dan bomba.
Sumber: Harian Metro