Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Tragedi yang meragut enam nyawa di Sungai Korok, Jitra membuka mata pelbagai pihak terhadap aspek keselamatan jalan di kawasan tersebut. Sebagai langkah susulan, kerajaan sedang meneliti cadangan untuk menambah baik infrastruktur di lokasi kejadian.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, antara cadangan yang dikemukakan termasuk membina pagar penghadang di tepi sungai dan memasang lampu jalan di laluan yang dikenal pasti berisiko.
Laluan gelap dan tidak selamat akan diberi keutamaan
Menurut Zahid, beliau telah menerima taklimat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenai cadangan penambahbaikan tersebut.
“Kita akan berbincang dengan JKR untuk membuat guardrails (penghadang) di tepi sungai itu dan lampu jalan akan saya ikhtiarkan untuk dipasang di kawasan berkenaan dan juga kawasan-kawasan gelap yang lain,” katanya.
Baca juga:
- Kerajaan mungkin pertimbang potong gaji menteri jika ekonomi semakin mencabar
- Isu aurat dalam tahanan: Muslimat PAS gesa penambahbaikan segera
- Kisah ‘Mahasiswa Abadi’: Tesis didakwa diambil rakan, Dessy kini alami tekanan mental
Beliau turut memberi jaminan akan membawa perkara ini ke peringkat Kabinet agar tindakan susulan dapat diambil secepat mungkin.
“Secara kebetulan, saya juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan Jalan Raya dan Kesesakan Jalan Raya dan perkara ini akan saya maklumkan kepada menteri yang berkenaan supaya tindakan segera dapat dilakukan,” tambahnya.
Tragedi awal pagi ragut nyawa satu keluarga
Zahid terdahulu menziarahi kediaman nenek kepada Putri Qisya Nur Izzat, 12, satu-satunya mangsa yang terselamat dalam tragedi menyayat hati itu.
Putri Qisya kehilangan ibu bapanya, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, bersama empat adik-beradik yang lain dalam insiden kereta mereka terbabas ke dalam Sungai Korok, awal pagi Sabtu lalu.
Adik-beradik yang turut maut ialah Putra Rayyan (9), Hawa Adriana (8), Annayla Humaira (7) dan Tuah Haydar yang masih bayi, baru berusia enam bulan.
Kesemua jenazah dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bohor Karang, malam tadi.
Sumber: Bernama








