Pelakon dan pelawak, Yassin Senario dikhabarkan akan pulang ke tanah air sebelum Aidilfitri nanti. Perkhabaran tersebut dimaklumkan oleh Saiful Apek menerusi satu temu bual.
“Saya difahamkan oleh keluarga Yassin, dia akan balik sebelum raya dan alhamdulilah kami lega bila dapat tahu secara jelas perkara ni,” katanya.
Memetik laporan dari Media Hiburan, Saiful memohon kepada semua pihak agar menghentikan sebarang spekulasi dan menunggu jawapan sendiri daripada Yassin.
“Mungkin ada yang kata saya seperti double standard atau berat sebelah sebab nak melindungi kawan-kawan. Sebenarnya tidak. Pada saya, hal ini mudah sahaja, saya dan Yassin telah berkawan lama.
“Mungkin dia tidak sepandai mana tapi dia juga tidaklah sebodoh mana. Jadi, saya ingin menyeru kepada semua untuk hentikan apa-apa spekulasi dan tunggu kepulangan tuan badan.
“Biarlah dia ceritakan sebenarnya apa yang berlaku,” katanya.
Dalam pada itu, Saiful atau lebih dikenali dengan panggilan Apek juga berkongsikan kehidupan Yassin di sana yang sudah berjaya menghafaz Al-Quran 20 juzuk.
“Dia juga sudah hafaz Al-Quran 20 juzuk, dapat kursus percuma di sana. Tak ada perkara yang jadi secara kebetulan.
“Kita doakan sahaja yang baik-baik. Insya-Allah sebelum raya ni dia balik, dia akan bersama dengan keluarga dia dan kami akan sambut dengan penuh gembira,” katanya lagi.








