'Yang lantik menteri ialah PM, kalau tak suka pecat sajalah' - Zahid | The Reporter

‘Yang lantik menteri ialah PM, kalau tak suka pecat sajalah’ – Zahid

Ahmad Zahid Hamidi ulas isu pemecatan anggota BN dalam pentadbiran kerajaan.
Zahid Hamidi

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pelantikan atau pengguguran seseorang menteri merupakan kuasa Perdana Menteri, termasuk sekiranya terdapat rasa tidak puas hati terhadap prestasi seseorang anggota Kabinet.

Memetik laporan FMT, Pengerusi BN itu berkata, tiada sebab untuk mana-mana daripada lapan menteri BN dalam Kabinet meletakkan jawatan kerana mereka masih menjalankan tanggungjawab yang diberikan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas peringatan Anwar supaya mana-mana menteri, timbalan menteri atau pemegang jawatan dalam agensi kerajaan yang menyerang rakan dalam Kerajaan Persekutuan ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) supaya berundur daripada jawatan.

“Perdana Menteri telah beri amaran, siapa sebut menteri lain atau kementerian lain, sila letak jawatan. Itu arahan dia.

“Tetapi saya jawab tadi, tak payah suruh letak jawatan kerana yang melantik menteri-menteri dan timbalan menteri itu dia (Perdana Menteri). Kalau dia tak suka, pecat sajalah.

“Tapi takkan sampai hati nak pecat? Kami semua bekerja dengan kuat,” katanya.

Baca juga:

Menurut Zahid, BN tidak pernah membangkitkan isu berkaitan kementerian atau menteri daripada parti lain, sebaliknya hanya memberi tumpuan kepada peranan parti itu dalam pentadbiran kerajaan.

“Kita tak sebut pun lain-lain kementerian, lain-lain menteri daripada parti lain. Kita sebut tentang diri kita. Insya-Allah kita lakukan yang terbaik,” katanya.

Sebelum ini, Anwar mengingatkan mana-mana anggota kerajaan supaya tidak menggunakan kedudukan mereka untuk menyerang rakan dalam Kerajaan Persekutuan ketika berkempen pada PRN

Related Posts