Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong mendakwa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengalami kerugian besar antara RM500 juta hingga RM700 juta akibat urus niaga saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Menurutnya, kerugian ini berpunca daripada tindakan KWSP menjual 150 juta saham MAHB pada harga sekitar RM6 seunit, sebelum membelinya semula pada RM11 seunit dalam tempoh kurang setahun.
“Bagaimana boleh kata tiada kerugian? Kalau kita tidak jual saham pada RM6, KWSP tak perlu beli balik pada harga RM11. Kiraan kasar menunjukkan kerugian antara RM539 juta hingga RM696 juta,” katanya dalam satu hantaran video di Facebook pada Ahad.
Ka Siong turut mendesak KWSP memberi penjelasan kepada pencarum mengenai pihak yang bertanggungjawab dalam urus niaga ini dan jumlah sebenar kerugian yang dialami.
Sementara itu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memulakan siasatan terhadap dakwaan ini. Beberapa pihak termasuk Kementerian Kewangan (MOF) dan MAHB akan dipanggil memberi keterangan bermula Isnin.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, siasatan akan dilakukan secara berperingkat dan tidak menolak kemungkinan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke turut dipanggil bagi menjelaskan isu tersebut.
Sebelum ini, beberapa NGO dan parti politik juga mendesak KWSP menjelaskan urus niaga saham MAHB yang didakwa merugikan dana pencarum.
Sumber: Sinar Harian