Lelaki warga emas ditahan, disyaki pukul dan campak kucing ke dalam longkang | The Reporter

Lelaki warga emas ditahan, disyaki pukul dan campak kucing ke dalam longkang

Lelaki warga emas berpakaian belang yang dipercayai terlibat dalam kejadian kucing dicederakan
Lelaki warga emas yang ditahan polis kerana disyaki memukul dan mencampak kucing ke dalam longkang

Seorang lelaki warga emas telah ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kejadian kejam membabitkan seekor kucing yang dipukul dan disumbat ke dalam longkang di Taman Yayasan, Buloh Kasap.

Dalam kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat hari ini, kejadian itu dikesan selepas video dan gambar seekor kucing dalam keadaan cedera tular di media sosial semalam.

Siasatan lanjut mendapati kejadian berlaku sekitar jam 11.12 pagi hari yang sama. Ketika itu, pemilik kucing berkenaan, seorang wanita tempatan, sedang mencari kucing peliharaannya jenis Turkish yang hilang dari rumah.

Beliau kemudian ternampak jiran lelaki selang beberapa rumah sedang menjolok sesuatu ke dalam longkang. Curiga dengan tingkah laku tersebut, wanita itu segera memeriksa kawasan itu dan terkejut apabila menemui kucingnya dalam keadaan berlumuran darah, dipercayai akibat dipukul.

Pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) dari kawasan kejiranan menunjukkan dengan jelas suspek telah memukul dan melempar kucing itu ke kawasan rumah yang tidak berpenghuni.

“Pengadu kemudiannya mendapati kucingnya di dalam longkang berlumuran darah dipercayai dipukul oleh suspek.”

Susulan laporan yang dibuat oleh pemilik kucing, tangkapan ke atas lelaki berusia lingkungan 70-an itu dilakukan pada awal pagi 14 Mei, sekitar jam 2.00 pagi.

Kucing berkenaan kini dirawat di klinik haiwan, manakala kes disiasat mengikut peruntukan undang-undang di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Related Posts