Warga asing guna logo JIM pada kenderaan dalam video tular ditahan | The Reporter

Warga asing guna logo JIM pada kenderaan dalam video tular ditahan

Warga asing ditahan JIM selepas kenderaan menggunakan logo Jabatan Imigresen Malaysia tular di media sosial
Suspek warga Pakistan yang ditahan JIM berhubung video tular penggunaan logo JIM pada kenderaan.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menahan individu yang dipercayai terlibat dalam penggunaan logo jabatan pada sebuah kenderaan yang tular di media sosial.

Tindakan itu dilakukan menerusi Operasi Khas yang dijalankan pada Ahad, selepas JIM menerima maklumat berhubung video tular memaparkan sebuah kenderaan berlogo JIM serta dilengkapi lampu mata arah yang digunakan oleh seorang warga asing.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, operasi pada jam 4.30 petang itu dijalankan di PV3 Platinum Hill Condominium, Setapak dan Jalan Kuching, Kuala Lumpur oleh sepasukan pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Hasil pemeriksaan dan serbuan, seorang lelaki warga Pakistan yang dipercayai merupakan individu dalam video berkenaan ditahan. Pemeriksaan di premis turut menemukan seorang wanita warga Indonesia yang didapati tinggal lebih masa di Malaysia, selain dua pasport warga Indonesia yang dipercayai milik individu lain.

Lelaki warga Pakistan itu ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan Akta Imigresen 1959/63, manakala wanita warga Indonesia berkenaan ditahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Kenderaan dalam video tular

Susulan tangkapan itu, pasukan operasi turut mengesan sebuah Toyota Hilux bernombor pendaftaran VLH8773 yang dipercayai digunakan dalam video tular berkenaan. Kenderaan tersebut ditemukan di sebuah kedai cuci kenderaan di Jalan Kuching, sebelum pemiliknya yang juga warga Pakistan ditahan.

Pemeriksaan lanjut di premis sama membawa kepada penahanan empat lelaki warga Bangladesh, tiga lelaki warga Pakistan dan seorang lelaki warga India yang merupakan pekerja kedai cuci kenderaan berkenaan. Pemilik kenderaan ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, manakala lapan pekerja terbabit ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) akta sama.

Baca juga:
Video dirakam April 2025

Siasatan awal mendapati video berkenaan sebenarnya dirakam pada April 2025 dan hanya dimuat naik melalui status WhatsApp oleh isteri kepada individu terbabit pada 7 Ogos 2026 ketika wanita itu berada di Indonesia.

“Hasil siasatan awal terhadap pemilik kenderaan berkenaan mendapati beliau mengakui memasang logo JIM dan lampu mata arah tersebut sekadar untuk kegunaan peribadi tanpa sebarang tujuan rasmi dan mendakwa tidak mengetahui ianya menjadi kesalahan undang-undang.

“Pemilik tersebut juga menyatakan logo JIM dan lampu mata arah tersebut telah dibuang sebelum video tersebut tular lagi,” katanya.

Menurut Zakaria, kesemua yang ditahan berserta kenderaan yang tular dalam video dibawa ke Pejabat Imigresen untuk tindakan dan siasatan lanjut.

JIM menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyalahgunaan logo atau identiti jabatan yang boleh mengelirukan orang ramai atau menjejaskan imej serta integriti agensi itu.

Related Posts