Sekumpulan warga asing yang dipercayai daripada komuniti Rohingya dilihat segera beredar dari sebuah taman awam di Taman Wilayah, Selayang, selepas menyedari kehadiran pempengaruh dikenali sebagai Awie MBR atau Abang Koroy.
Menerusi hantaran video di media sosial, Awie MBR menunjukkan keadaan di kawasan taman permainan dan gelanggang badminton berkenaan yang didakwa sering digunakan oleh warga asing.
Dalam video itu, beberapa individu dilihat meninggalkan kawasan tersebut sebaik menyedari kehadiran Awie MBR, termasuk kanak-kanak, lelaki, wanita daripada pelbagai peringkat usia.
Keadaan berkenaan turut menarik perhatian penduduk setempat yang mendakwa kemudahan awam di kawasan itu semakin sukar digunakan oleh komuniti tempatan.
Menurut seorang penduduk, mereka sebelum ini boleh menggunakan gelanggang serbaguna di kawasan berkenaan untuk bermain sepak takraw, namun aktiviti tersebut kini didakwa tidak lagi dapat dilakukan seperti dahulu.
Penduduk turut menunjukkan tiang kayu dan diikat dengan jaring di kawasan gelanggang tersebut.
Baca juga:
- Warga asing dipercayai Rohingya ‘kuasai’ taman awam, penduduk luah kecewa
- Anwar arah lepaskan mahasiswa dikenakan hukuman kerana kritik pimpinan negara
- Dakwaan salah laku dengan isteri OKT, pegawai penyiasat digantung tugas
Seorang penduduk meluahkan kekecewaan terhadap keadaan itu dan berpendapat tindakan pencegahan perlu diambil bagi mengelakkan kemudahan awam dikuasai atau digunakan secara berlebihan oleh pihak tertentu.
“Kecewa sebab kita terlalu bagi muka. Setakat kasihan sikit boleh, tapi jangan lebih-lebih. Patut cegah benda macam ini supaya tidak ditindas,” katanya.
Dalam hantaran sama, Awie MBR menyifatkan isu tersebut sebagai lebih daripada sekadar kehadiran pelarian, malah mendakwa ia sudah menjurus kepada pencerobohan dan penguasaan kawasan taman awam.
Beliau turut mendakwa terdapat produk dari negara asal warga asing berkenaan yang dibawa masuk ke kawasan tersebut, selain membangkitkan isu kebersihan apabila persekitaran taman didakwa berada dalam keadaan kotor.
“Ini bukan lagi sekadar pelarian tapi ini adalah pencerobohan dan penjajahan di Taman Wilayah Selayang!Belum cerita lari dorang bawa masuk produk negara diorang seludup masuk negara kita,” katanya.









