Seorang wanita tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek selepas mengaitkan beliau dengan isu tular melibatkan Allahyarham Zara Qairina.
Dalam kenyataannya di media sosial, wanita berkenaan mengakui tersilap menyebarkan komen fitnah yang mendakwa Fadhlina mempunyai hubungan kekeluargaan dengan pengetua sekolah arwah. Dakwaan tersebut katanya diperoleh daripada kandungan siaran langsung seorang individu di media sosial, selain daripada rakaman video yang dikongsi pengguna lain.
“Dengan rendah diri saya ingin membuat permohonan maaf kepada Menteri Pendidikan YB Fadhlina Sidek atas komen saya yang memfitnah beliau sepupu dengan pengetua sekolah Zara. Tanpa selidik, saya terus komen begitu di Facebook. Saya betul-betul minta maaf atas apa yang berlaku, saya mengaku saya salah.
“Saya juga tidak tahu jika komen begini dimana info berkenaan diambil dari Jufazli boleh dikenakan undang-undang,” katanya.
Wanita itu turut menegaskan kesilapannya menyebarkan dakwaan tanpa usul periksa dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.
Baca juga:
- ‘256 warga asing Network School Forest City guna Pas Lawatan Sosial’ – KP Imigresen
- ‘Suami saya bukan penjenayah!’- Wanita Orang Asli dakwa suami ditahan
- Kes hak cipta plat MADANI: Mahkamah arah JPJ bayar RM40,000 kepada Hasan Azhari
Terdahulu, Fadhlina telah membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diatas fitnah yang disebarkan.
Beliau memaklumkan tindakan undang-undang akan diambil bagi memastikan perkara tersebut menjadi pengajaran kepada semua pihak.
“Saya menyeru semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi. Hormati keluarga Allahyarham Zara Qairina dan beri ruang kepada proses undang-undang yang sedang berjalan. Jika keadilan itu yang kita cari, maka ia harus ditegakkan dengan paksi kebenaran. Sesungguhnya keadilan itu sangat dekat dengan takwa,” katanya.








