Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Berat mata memandang, berat lagi bebanan yang dipikul. Begitulah gambaran kehidupan seorang wanita yang kini berjuang menguruskan suami serta dua anaknya.
Suaminya kembali diserang skizofrenia buat kali keempat. Genap sebulan beliau berjuang menguruskan keadaan suami yang sakit, dalam masa sama menjaga dua anak yang turut menghidap penyakit kronik.
Anak lelakinya, Aqil, terlantar akibat kegagalan organ dalaman berpunca daripada sindrom Syder Robinson. Lebih memilukan, Aqil juga kerap mengalami sawan sehingga menyukarkan lagi keadaannya. Malah, rawatan usus yang sangat diperlukan terpaksa ditangguhkan kerana dana yang ada masih belum mencukupi.
Seorang lagi anak perempuannya pula disahkan menghidap Systemic Lupus Erythematosus (SLE), manakala si ibu sendiri berdepan dengan SLE rheumatoid yang melemahkan tubuhnya.
“Hari ini genap sebulan suamiku diserang skizofrenia buat kali keempat. Nampak seperti normal. Sekali datang, penyakit tidak tertanggung aku nak menghadapinya, dengan dua orang anak yang sakit hari-hari, yang perlu aku jaga 24 jam.
“Aqil hanya terlantar tapi Aqil sangat mengerti. Macam-macam kami tempuhi selama suamiku sakit. Panjang sebenarnya nak cerita, sampai tak terungkap dengan kata-kata,” luahnya.
Baca juga:
- Dituduh ‘cekik darah’ caj RM30 baiki kalkulator, lelaki tampil beri penjelasan
- MCMC buka siasatan, individu disyaki sebar kandungan palsu terhadap SPRM
- Isu fitnah: MP Jasin, Harakah mohon maaf kepada Fadhlina
Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran yang tidak tergambar oleh orang lain, wanita ini tetap gagah berdiri. Kasih dan tanggungjawab terhadap suami serta anak-anak menjadi sumber kekuatan untuk terus melangkah, meskipun kehidupannya dipenuhi kepenatan, air mata, dan pengorbanan yang besar.
Kini, harapan keluarga kecil ini hanya satu agar masyarakat memahami penderitaan yang ditanggung dan sama-sama mendoakan, bahkan membantu meringankan beban rawatan Aqil.








