Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Seorang wanita Perancis telah memfailkan tuntutan saman terhadap majikannya selepas bekerja selama 20 tahun di syarikat telekomunikasi Orange.
Dia mendakwa, syarikat tersebut melakukan gangguan moral dan diskriminasi terhadapnya kerana status dirinya yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU). Meskipun gaji bulanannya terus dibayar, dia tidak diberikan sebarang tugasan sepanjang tempoh tersebut.
Laurence Van Wassenhove, mengalami keadaan hemiplegik (lumpuh separa muka dan anggota badan), menderita epilepsi dan telah bekerja sebagai setiausaha di Jabatan Sumber Manusia sejak tahun 1993. Pada tahun 2002, dia meminta dipindahkan ke wilayah lain di Perancis, namun tempat kerja baru tidak disesuaikan dengan keadaan dirinya.
Meskipun permintaannya diluluskan, syarikat Orange gagal membuat pelarasan pada pekerjaannya. Mereka lebih suka membayar gaji penuhnya tanpa memberi Laurence sebarang tugas. Laurence kemudian melaporkan keadaan ini kepada kerajaan dan Pihak Berkuasa Tinggi untuk Memerangi Diskriminasi.
Pada tahun 2015, seorang pengantara yang dilantik oleh Orange diberi mandat untuk menyelesaikan situasi ini, tetapi keadaan tidak bertambah baik. Peguam yang mewakili Laurence mendakwa, Orange cuba memaksa Laurence berhenti kerja.
Bagi orang kelainan upaya (OKU), bekerja bermakna mempunyai tempat dalam masyarakat dan pengiktirafan. Laurence turut memfailkan saman terhadap syarikat dan empat pengurusnya.
Sementara itu, Orange menyatakan bahawa mereka telah mengambil kira keadaan sosial peribadi Laurence dan terus membayar gaji penuhnya serta memberikan beberapa bantuan yang tidak boleh dikembalikan.