Video seorang wanita meminta sedekah di beberapa lokasi sekitar Kampung Jenderam Hilir dan Desa Pinggiran Putra menjadi tular di TikTok selepas dimuat naik oleh pengguna bernama JunniyChan. Wanita itu didakwa menggunakan alasan mempunyai anak yatim untuk mendapatkan makanan percuma.
Menurut perkongsian tersebut, wanita berkenaan meminta makanan di setiap kedai yang dikunjunginya, termasuk stesen minyak, dengan alasan yang sama. Apa yang mencetuskan persoalan ialah dia memandu sebuah kereta jenama Honda, yang menimbulkan keraguan terhadap keperluan sebenar untuk meminta sedekah.
“Dia cakap ada anak yatim di rumah, tapi rupa-rupanya dia bawa Honda. Nasiblah mak saya ni baik, anggap sedekah je,” tulis JunniyChan dalam kapsyen video tersebut.
Pengguna lain turut berkongsi pengalaman serupa dengan wanita ini. Seorang peniaga di pasar malam Desa Pinggiran Putra mendakwa wanita itu pernah meminta makanan daripadanya.
Selain itu, seorang individu lain mendedahkan suaminya pernah membantu wanita berkenaan dengan memberikan RM50 selepas melihatnya menggunakan tongkat. Namun, beberapa minggu kemudian, wanita tersebut dilihat memasuki kedai tanpa tongkat.




Netizen menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan seperti ini yang boleh menjejaskan kepercayaan kepada golongan yang benar-benar memerlukan bantuan. Ada yang mencadangkan pihak berkuasa menyiasat kes ini untuk memastikan isu seperti ini tidak berulang.








