Seorang wanita maut manakala suami serta anak lelakinya berusia tujuh tahun cedera selepas khemah yang mereka diami dihempap pokok tumbang di kawasan Pulau Santap, Camp Site, Janda Baik, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.56 pagi itu, mangsa bersama keluarganya berada di dalam khemah berhampiran sungai sebelum insiden berlaku.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, sebaik menerima laporan, seramai 12 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bentong bergegas ke lokasi.
“Sebaik tiba, pasukan mendapati pokok setinggi kira-kira 15 meter tumbang menghempap sebuah khemah. Pemeriksaan lanjut menemukan tiga mangsa dalam khemah berkenaan.
“Seorang wanita disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala seorang lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki cedera,” katanya.
Baca juga:
- Ayam dipercayai mati direndam air panas sebelum disembelih, 12 warga asing ditahan
- Pemuda MCA sedia bantu guaman empat lelaki didakwa bakar rumah Rohingya
- Sistem paparan LED di Kluang digodam, papar kandungan tidak senonoh
Menurutnya, mayat mangsa diserah kepada polis untuk tindakan lanjut manakala dua mangsa cedera dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan.
Sumber: Kosmo, Harian Metro








