Seorang wanita maut dan dua lagi mengalami kecederaan apabila apabila sebuah treler telah terbabas dan melanggar rumah mereka di Kampung Ketapang Hilir, Pekan pada awal pagi Sabtu.
Kemalangan tersebut juga menyebabkan sebahagian kediaman berkenaan runtuh.
Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani pihak bomba menerima laporan berhubung kejadian jam 4.46 pagi.
Katanya, operasi pencarian digerakkan sebaik sahaja mendapat makluman seorang wanita telah tertimbus di bawah runtuhan.
“Hasil pencarian dijalankan, mangsa yang dilaporkan tertimbus berjaya ditemui di bawah treler di bahagian hadapan dan dikeluarkan menggunakan peralatan menyelamat.
“Mangsa yang disahkan telah meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, dua penghuni rumah berkenaan selamat dan dua lagi cedera manakala pemandu treler dan kelindan turut tercedera.
Sumber: Sinar Harian