'Kalau tak reti, jangan redeem duit MyKasih, menyusahkan orang!' | The Reporter

‘Kalau tak reti, jangan redeem duit MyKasih, menyusahkan orang!’

Warga emas dimarahi ketika mahu buat pembayaran di kaunter MyKasih
Warga emas dimarahi juruwang ketika menggunakan bantuan MyKasih di kaunter pembayaran. Gambar hiasan: e-central

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Program MyKasih memberi manfaat kepada golongan kurang berkemampuan untuk mendapatkan barangan keperluan asas melalui pembayaran yang terus dikreditkan ke dalam akaun MyKad penerima.

Antara barangan yang boleh dibeli melalui program ini termasuklah beras, tepung, gula, minyak masak, susu tepung dan pelbagai barangan keperluan asas lain di kedai-kedai yang berdaftar di bawah program tersebut.

Inisiatif seperti ini sememangnya memberikan kelegaan kepada penerima, khususnya warga emas yang mungkin hidup sebatang kara atau tidak celik teknologi.

Namun begitu, satu kisah menyentuh hati telah dikongsikan oleh seorang wanita apabila dia mendakwa menyaksikan seorang warga emas dilayan dengan kurang sopan semasa berada di kaunter pembayaran.

Menurut wanita itu, juruwang terbabit memarahi warga emas berkenaan dengan kata-kata yang tidak enak didengar.

“Mak cik, lain kali kalau tak reti, janganlah redeem duit MyKasih ni. Menyusahkan orang je,” kata juruwang tersebut.

Situasi menjadi lebih menyedihkan apabila juruwang itu bertanya sama ada wanita berkenaan mahu meneruskan pembelian barangan yang tidak termasuk dalam senarai MyKasih. Warga emas itu menjelaskan bahawa dia tetap memerlukan barangan tersebut kerana stok di rumahnya sudah habis.

Namun, selepas pengiraan dibuat, jumlah keseluruhan barangan mencecah RM65.80, sedangkan wang tunai di tangan warga emas itu hanya RM50. Dia kemudian cuba meletakkan semula barangan yang berlebihan ke rak.

Tersentuh melihat situasi itu, wanita yang menyaksikan kejadian tersebut tampil membayar baki jumlah yang tidak mencukupi.

Dalam hantaran yang dikongsikannya di Thread, beliau turut menyeru agar anak-anak yang mempunyai ibu bapa penerima MyKasih dapat meluangkan masa menemani mereka semasa membeli-belah, supaya kejadian sebegini tidak berulang.

Related Posts