Wanita jual kotak android mengandungi salinan langganan Astro secara haram, ditahan polis - The Reporter

Wanita jual kotak android mengandungi salinan langganan Astro secara haram, ditahan polis

Gambar sekadar hiasan sahaja

Polis menahan seorang wanita berusia 29 tahun yang didapati terbabit dalam kegiatan penjualan kandungan penstriman haram di sebuah premis perniagaan di Puchong, semalam, lapor Harian Metro.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menahan suspek yang ketika itu sedang menjual kotak android yang mengandungi salinan langganan Astro secara haram.

Dalam operasi yang turut disertai oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Astro itu, mereka turut merampas enam unit kotak android jenama SVI 9S yang tidak mempunyai rekod perakuan sirim.

Selain itu, turut dirampas sejumlah wang tunai RM500 dan sekeping resit pembelian.

Siasatan mendapati, suspek menjual kotak android itu secara terus kepada pelanggan yang datang ke premis mereka. Salinan siaran Astro pula hanya dimuat naik ke dalam peranti tersebut sekiranya mendapat permintaan daripada pelanggan.

Bagi setiap unit kotak android itu, pelanggan dikehendaki membayar dengan harga RM468 untuk mendapatkannya.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 43AA Akta Hakcipta 1987.

Sumber: Harian Metro (Muhaamad Hafis Nawawi)

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!