Seorang wanita di Iowa ditahan polis kerana membuat aduan palsu terhadap lelaki yang baru dikenalinya, hanya kerana dia tidak mahu meneruskan perhubungan mereka.
Sumaya Thomas, 18, sepatutnya keluar dengan lelaki berkenaan yang dikenalinya melalui aplikasi dating online. Tetapi apabila lelaki itu muncl di pintu rumahnya pada 16 Jun lalu, Sumaya mula berasa tidak berkenan, tetapi tidak mahu berterus terang megenainya.
Sumaya kemudian menghubungi talian 911 dan mereka cerita palsu kononnya lelaki itu adalah bekas kekasih yang pernah menderanya sebelum ini dan meminta bantuan polis untuk menghalau lelaki itu keluar dari kawasan kediamannya.
Dia turut memberitahu, lelaki itu mengancam mahu memukul, meninju, menendang dan menikamnya.
Satu unit kereta peronda polis dikerahkan ke lokasi kejadian. Apabila pegawai polis tiba, mereka tidak menemui suspek dalam keadaan marah atau menyerang Sumaya. Sebaliknya lelaki berkenaan dalam keadaan tenang.
Ketika dihampiri polis dan bertanya tentang hubungannya dengan pengadu, lelaki itu menjelaskan dia baru sahaja mengenali Sumaya seminggu yang lalu melalui aplikasi dating dan sepatutnya mereka keluar bersama pada malam tersebut.
Berdasarkan percakapan itu, lelaki berkenaan kelihatan jujur. Tetapi Sumaya menegaskan mereka sudah berkenalan sejak dua tahun lalu dan kini dia sedang menghamilkan anak lelaki itu. Malah dia mendakwa lelaki itu menderanya di sepanjang perhubungan mereka dan muncul di pintu rumahnya dengan ugutan yang boleh mendatangkan kecederaan fizikal padanya.

Siasatan lanjut pada telefon pintar Sumaya mendapati, dia telah memadamkan beberapa teks perbualan dengan lelaki itu bagi menutup perbuatannya. Setelah disoal siasat beberapa kali, Sumaya akhirnya mengakui dia sengaja mereka cerita dan membuat aduan palsu.
Sumaya berbuat demikian kerana belum bersedia dan takut untuk berjumpa dengan lelaki berkenaan.
Bagi kesalahan bodoh itu, Sumaya dituduh melakukan dua kesalahan ringan iaitu membuat laporan palsu.








