Seorang wanita di Shandong, China, didenda sebanyak 2,000 yuan (RM1,221) daripada sebuah butik pengantin selepas mencuba gaun pengantin dan meninggalkan kesan peluh. Kejadian itu mencetuskan pelbagai reaksi netizen di media sosial.
Difahamkan, wanita berkenaan merancang untuk berkahwin pada tahun hadapan. Dia bersama dengan tunangnya kemudian mengunjungi sebuah butik pengantin tempatan yang terkenal untuk mencuba dua gaun pengantin.
Selesai mencuba, pasangan berkenaan mahu beredar. Belum sempat berbuat demikian, seorang kakitangan menghampiri mereka dan memaklumkan salah satu gaun yang dicuba oleh wanita itu mempunyai bau yang tidak menyenangkan, berkemungkinan disebabkan oleh peluh.
Pemilik butik yang mengetahui perkara itu kemudian mendesak pasangan berkenaan membeli gaun tersebut.
Bagaimanapun, wanita itu menjelaskan ketiaknya sering berpeluh dan bilik untuk mencuba pakaian pula tidak mempunyai penghawa dingin menyebabkan dia berpeluh. Baginya, adalah tidak adil dia didesak untuk membeli gaun itu.
Gagal mencapai penyelesaian, wanita berkenaan menghubungi polis untuk meminta bantuan. Tetapi polis memutuskan dia terpaksa denda yang dikenakan sebanyak RM1,221.
Merasaka dirinya dianiaya, dia kemudian berkongsi hantaran mengenai kejadian itu di media sosial dan bertanya siapa yang bersalah dalam hal itu. Hantarannya itu tersebar luas dan majoriti netizen tidak berpihak kepadanya.
“Saya pemilik butik pengantin. Beberapa gaun memang mempunyai bau peluh yang tidak dapat dicuci. Jadi, saya syorkan pelanggan mandi dulu sebelum mencuba gaun. Ini bukan masalah butik tak berlaku adil, tetapi kami yang tak dapat menjual gaun yang berbau,” kata netizen.
“Dah tahu ada bau badan, masih lagi nak cuba dan menyusahkan orang lain. Memang layaklah kau kena denda. Kalau aku ada butik pengantin pun, memang aku suruh kau bertanggungjawab. Lain kali pakailah deodorant,” tambah netizen lain.
Selepas dikritik teruk, wanita berkenaan memaklumkan dia telah menjalani pembedahan ketiak untuk menangani masalah peluh dan bau badan. Dia juga meluahkan rasa kesal kerana tidak menguruskan bau badannya lebih awal sehingga menyebabkan masalah ini timbul.
“Saya tidak akan mencuba gaun pengantin lain sehingga saya sembuh sepenuhnya,” katanya. – Agensi