Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang wanita di China telah mencetuskan kekecohan di sebuah kedai Louis Vuitton (LV) di pusat membeli-belah StarLight Place, Chongqing.
Wanita tersebut yang merasa dihina oleh kakitangan kedai dalam kunjungan sebelumnya, kembali dengan membawa wang tunai sebanyak 600,000 yuan (kira-kira RM386,160) untuk membalas dendam.
Difahamkan, pada bulan Jun lalu, wanita itu mengunjungi kedai LV untuk membeli pakaian. Tetapi dia mendakwa telah dilayan dengan kasar oleh kakitangan premis. Mereka mengabaikan permintaannya untuk minuman dan menunjukkan pakaian dari musim sebelumnya, bukannya koleksi terbaru.
Wanita berkenaan juga mendakwa kakitangan tersebut memandangnya dengan pandangan tidak berpuas hati apabila dia meminta untuk melihat beberapa pakaian lain.
Dua bulan kemudian, wanita itu kembali ke kedai bersama pembantu peribadi dan seorang rakan. Mereka mencuba beberapa pakaian dan memberitahu jurujual bahawa mereka akan membelinya. Dia kemudian menyerahkan beg besar berisi wang tunai kepada kakitangan kedai sebagai bayaran untuk pakaian tersebut.
Kakitangan kedai mengambil masa dua jam untuk mengira wang tersebut. Namun, sebaik sahaja mereka selesai mengira, wanita itu memberitahu dia telah mengubah fikiran dan membatalkan hasratnya untuk berbelanja di LV.
Kisah wanita ini mendapat pujian daripada netizen di media sosial. Ramai yang merasa puas dengan tindakan wanita itu dan mengakui bahawa memang ramai kakitangan kedai mewah yang selalu bersikap sombong dan memandang rendah terhadap pelanggan
“Mereka menjual barangan mewah, tetapi itu tidak bermakna mereka sendiri adalah barangan mewah,” kata seorang netizen. – Agensi








