'Waktu sukar mendedahkan siapa sahabat sejati', Singapura hargai bantuan Malaysia | The Reporter

‘Waktu sukar mendedahkan siapa sahabat sejati’, Singapura hargai bantuan Malaysia

Menteri Luar Singapura zahirkan penghargaan atas bantuan Malaysia
Menteri Luar Singapura menyifatkan bantuan yang diberikan sebagai satu bukti solidariti ASEAN.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Malaysia menerima penghargaan daripada Singapura atas bantuan memindahkan rakyatnya dari Iran. Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan, dalam surat kepada rakan sejawatnya dari Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bantuan berkenaan bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala malah bukti kepada solidariti ASEAN.

Sokongan berkenaan juga ujar beliau sebagai satu contoh nyata kepentingan Garis Panduan ASEAN mengenai Bantuan Konsul untuk Negara Anggota dalam usaha bersama untuk membantu rakyat masing-masing.

Dr Balakrishnan turut berkongsi surat penghargaan itu di Facebook, memuji tindakan pantas dan profesional Bahagian Konsul Kementerian Luar serta Kedutaan Malaysia di Tehran dan Ashgabat. Malaysia membantu menyediakan penginapan, pengangkutan dan permit masuk ke Turkmenistan.

“Sokongan pantas dan profesional yang diberikan di Tehran dan Ashgabat telah membolehkan kami melaksanakan pelan pemindahan di bawah keadaan yang sukar.

“Bantuan segera mereka, khususnya dalam mendapatkan penginapan, pengangkutan dan permit masuk yang diperlukan ke Turkmenistan, amat penting dalam memastikan keselamatan rakyat kami,” katanya.

Selain itu, beliau turut berterima kasih kepada Oman atas bantuan memindahkan satu lagi keluarga rakyat Singapura dari Tehran ke Muscat. Singapura yang tidak mempunyai perwakilan diplomatik di Iran, menyifatkan usaha kedua-dua negara tersebut sebagai sokongan amat bernilai ketika krisis.

“Terima kasih kepada Kerajaan Oman dan Malaysia atas sokongan yang amat bernilai dalam membantu pemindahan rakyat Singapura dari Iran dengan selamat. Sebuah keluarga rakyat Singapura telah dibantu oleh pihak berkuasa Oman untuk dipindahkan ke Muscat, Oman.

“Seorang lagi rakyat Singapura telah dipindahkan ke Ashgabat, Turkmenistan bersama sekumpulan rakyat Malaysia dengan bantuan Kerajaan Malaysia. Mereka kini telah pulang ke tanah air dengan selamat.

“Bantuan pantas daripada kerajaan Oman dan Malaysia mencerminkan kekuatan dan solidariti dalam persahabatan jangka panjang kita, terutamanya pada waktu-waktu memerlukan,” katanya.

Related Posts