Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Satu hantaran tular yang merakamkan kesesakan hospital di China dengan jumlah pesakit yang terdiri daripada kanak-kanak dan dewasa untuk mendapatkan rawatan akibat wabak Influenza A dan Human Metapneumovirus (HMPV).
Gelombang tersebut dikatakan menyerupai gelombang COVID-19 beberapa tahun lalu.
Menerusi hantaran tersebut, rata-rata pesakit kelihatan memakai topeng muka dan ada juga yang menunggu giliran dengan membawa alat infusi.
“Jabatan pediatrik dan dewasa di hospital-hospital kini penuh sesak dengan pesakit dari pelbagai peringkat umur, termasuk kanak-kanak dan warga emas, yang menderita akibat demam.
“Video yang tular menunjukkan barisan panjang di wad pediatrik pada waktu malam, dengan ibu bapa datang awal pagi untuk mendapatkan rawatan. Bilik infusi juga dilaporkan penuh sesak,” katanya.
Dalam pada itu, seorang vlogger mendedahkan beliau dan isterinya telah mengalami gejala seperti demam panas, sakit badan dan sakit kepala selepas pulang dari menghadiri sebuah acara di Guangzhou.
“Pada 25 Disember, seorang vlogger bernama “Please Fei Ge” berkongsi pengalaman beliau dan isterinya menghadiri sebuah acara di Guangzhou. Selepas pulang, mereka mengalami gejala seperti demam panas, sakit badan, dan sakit kepala—mirip gejala ketika mereka dijangkiti COVID-19 sebelum ini.
“Mereka kemudian mendapati bahawa semua 8 atau 9 orang yang menghadiri acara tersebut telah dijangkiti “Influenza jenis A.” Bagi mengelakkan anak-anak mereka dijangkiti, pasangan tersebut telah mengasingkan diri selama tiga hari dan masih mengalami demam ringan,” katanya.
Sementara itu, memetik laporan dari Sinar Harian, pihak berkuasa kesihatan di seluruh dunia bertindak memberi amaran tentang wabak tersebut dan menekankan tentang langkah penjagaan kebersihan.
Pentadbiran Kawalan dan Pencegahan Penyakit Kebangsaan (CDC) di Beijing turut menetapkan protokol untuk pelaporan makmal dan pengesahan kes bagi meredakan kebimbangan orang ramai.
“Data pada 16 hingga 22 Disember menunjukkan peningkatan jangkitan pernafasan akut termasuk hMPV terutamanya di wilayah utara China. Kes baru-baru ini kebanyakannya melibatkan golongan berusia di bawah 14 tahun,” katanya.








