Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Usahawan dan juga pengasas bersama Fashion Valet serta pengasas jenama dUCk, Datin Vivy Sofinas Yusof, dikritik netizen kerana didakwa mengambil kesempatan mengeluarkan beberapa produk yang berasaskan warna bendera Palestin.
Umum mengetahui, Palestin kini sedang berdepan dengan serangan tentera zionis Israel yang melakukan pengeboman di Gaza tanpa mengambil kira nyawa orang awam, terutamanya golongan wanita dan kanak-kanak.
Antara produk yang dikeluarkan adalah The Palestine dUCk (Shawl), The Palestine dUCk Mug dan The Palestine dUCk Tote Bag yang dijual dengan harga premium.
Bagi netizen, orang ramai sepatutnya menyalurkan sumbangan terus kepada NGO, bukannya membeli barangan tersebut.
Sedar dengan kecaman netizen, beliau tampil memberi penjelasan bahawa pihaknya tidak akan mengambil hasil keuntungan daripada penjualan koleksi itu.
“Kami tidak mengambil sebarang hasil jualan daripada koleksi dUCk Palestine. Semua keuntungan akan disalurkan kepada Viva Palestina Malaysia untuk membantu hospital, bekalan perubatan, tempat tinggal dan makanan.
“Tiada bayaran balik cukai untuk ini. Orang ramai minta kami keluarkan semula koleksi ini kerana mereka mahu memakainya sebagai solidariti kepada Palestin.
“Apabila mereka memakainya, ia membantu menyebarkan kesedaran tentang perkara ini. Kami hanya menyediakan tanpa mengaut keuntungan, kerana itu juga cara untuk menyebarkan kesedaran.
“Orang ramai juga boleh menderma terus kepada NGO. Itu yang saya kongsikan sejak beberapa hari lalu dalam setiap post. Malah kami turut menyertakan butiran akaun bank (NGO) untuk anda,” katanya menerusi kenyataan di Instastory.