Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pengumuman gencatan senjata di Gaza yang dijadualkan bermula Ahad ini disambut dengan rasa syukur oleh Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun, pengasas Berjaya Corporation Berhad. Beliau turut menyeru agar masyarakat menghentikan boikot terhadap Starbucks Malaysia, sebuah jenama yang telah lama bertapak di negara ini.
Menurut Vincent, berita gencatan senjata ini membawa harapan baharu untuk keamanan di Gaza dan tidak ada lagi sebab untuk terus memboikot Starbucks.
“Gaza akan aman kembali. Ini adalah berita yang menggembirakan kita semua. Jadi, tiada keperluan untuk memboikot Starbucks lagi, lebih-lebih lagi ia adalah syarikat tempatan yang memberikan manfaat besar kepada rakyat,” katanya memetik laporan dari Malaysia Gazette, Jumaat, 17 Januari 2025.
Boikot tidak menguntungkan rakyat
Sebelum ini, Vincent pernah menjelaskan hampir 85 peratus kakitangan Starbucks Malaysia terdiri daripada pekerja muslim. Beliau menegaskan tindakan boikot hanya akan merugikan pekerja tempatan dan tidak memberi kesan kepada konflik antarabangsa.
Tahun lalu, Starbucks Malaysia turut menghadapi cabaran besar apabila pendapatan Berjaya Food Bhd mencatatkan penurunan sebanyak 35 peratus pada suku kedua tahun kewangan 2024, dengan kerugian selepas cukai kira-kira RM42 juta.








