Vincent Tan rayu rakyat berhenti boikot Starbucks Malaysia | The Reporter

Vincent Tan rayu rakyat berhenti boikot Starbucks Malaysia

Baru-baru ini Berjaya Food(BFood) dalam satu kenyataan melaporkan syarikat berkenaan telah mencatatkan kerugian pada suku kedua berakhir 31 Disember 2023 dengan kerugian sebanyak RM42.58 juta berbanding keuntungan bersih RM35.49 juta.

BFood tidak menolak kemungkinan ini adalah susulan daripada kesan boikot yang berkait dengan konflik yang berlaku di Asia Barat.

Sehubungan dengan itu juga, pengasas dan penasihat Berjaya Corporation Bhd Tan Sri Vincent Tan merayu kepada rakyat negara ini untuk menghentikan pemboikotan terhadap Starbucks Malaysia.

Tindakan tersebut kata Vincent hanya akan merugikan rakyat.

“Saya rasa semua mereka yang memboikot Starbucks Malaysia harus tahu bahawa ia adalah syarikat milik Malaysia. Kami tidak mempunyai seorang pun warga asing yang bekerja di ibu pejabat.

“Di kedai, 80-85 peratus pekerja adalah Muslim. Boikot ini tidak menguntungkan sesiapa,” katanya.

Beliau menjangkakan suku ketiga tahun kewangan 2024 akan menunjukkan peningkatan dalam jualan.

“Ya, ia mempunyai sedikit impak kepada kami tetapi kini sekurang-kurangnya ia bertambah baik dan seperti yang saya katakan ia semua milik rakyat Malaysia, ia dikendalikan oleh rakyat Malaysia. Ia hanya francais, ia bukan milik orang Amerika,” katanya.

Sumber: Malaysia Gazette

Related Posts