Tindakan DBKL rampas belon peniaga tanpa lesen cetus kekecohan di Jalan TAR | The Reporter

Tindakan DBKL rampas belon peniaga tanpa lesen cetus kekecohan di Jalan TAR

Anggota penguat kuasa DBKL merampas belon daripada peniaga di Jalan TAR
Kekecohan tercetus di Jalan TAR selepas DBKL merampas belon daripada peniaga tanpa lesen menjelang Hari Raya.

Suasana malam di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, semalam bertukar kecoh apabila berlaku perselisihan antara beberapa individu dipercayai peniaga dan anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Insiden itu dipercayai berpunca daripada tindakan penguat kuasa DBKL yang mengambil langkah merampas barangan jualan milik peniaga tanpa lesen, termasuk puluhan belon yang dijual di kawasan tumpuan orang ramai itu.

Dalam beberapa rakaman video yang tular di media sosial, kelihatan beberapa peniaga cuba menghalang rampasan dilakukan, menyebabkan berlaku tolak-menolak serta kekecohan di lokasi kejadian.

Difahamkan, operasi tersebut dijalankan bagi mengekang aktiviti perniagaan tanpa kebenaran yang semakin bertambah menjelang sambutan Aidilfitri.

Tinjauan pada video yang dimuat naik turut memperlihatkan pelbagai reaksi daripada orang ramai. Ada yang menyokong ketegasan DBKL dalam memastikan kelancaran dan keselamatan kawasan, namun tidak kurang juga yang meluahkan rasa simpati terhadap peniaga kecil yang ingin mencari rezeki.

Setakat ini, DBKL masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung insiden terbabit.

Related Posts