Video Gabenor Aceh menangis ketika wawancara tular, luah kerisauan isu banjir | The Reporter

Video Gabenor Aceh menangis ketika wawancara tular, luah kerisauan isu banjir

Gabenor Aceh Muzakir Manaf menitiskan air mata ketika ditemu bual mengenai banjir besar yang melanda wilayah Aceh.
Gambar: Tangkap layar dari YouTube Najwa Shihab

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Gabenor Aceh, Muzakir Manaf tidak dapat menahan sebak ketika ditemu bual oleh wartawan terkenal, Najwa Shihab, dalam satu sesi wawancara yang membincangkan bencana banjir dan tanah runtuh yang melanda wilayah tersebut. Detik menyayat hati itu menjadi tular selepas video berkenaan dimuat naik oleh Najwa Shihab di platform Instagram dan YouTube miliknya.

Wawancara tersebut pada mulanya tertumpu kepada kesan banjir besar yang berlaku di Sumatera dan bagaimana bencana itu menjejaskan beberapa kawasan di Aceh yang disifatkan sebagai Tsunami kedua. Najwa kemudiannya menyoal tentang status bencana yang sehingga kini belum diisytiharkan sebagai bencana nasional(darurat) oleh kerajaan pusat, sekaligus menimbulkan persoalan sama ada keadaan itu menyukarkan kerajaan wilayah dalam usaha menangani krisis yang sedang berlaku.

Gagal tahan sebak

Ketika disoal mengenai perkara tersebut, Muzakir pada mulanya cuba menahan perasaan. Namun, wajahnya mulai berubah apabila beliau mengulas betapa terbatasnya kuasa yang dimiliki dalam menentukan status bencana nasional. Dengan suara bergetar, beliau mengakui bahawa dirinya hanya mampu berusaha sedaya upaya untuk membantu rakyat yang terjejas, sambil menyerahkan segalanya kepada doa.

“Saya pada prinsipnya hanya berusaha, hanya berdoa,” ujar Muzakir.

Beliau tidak lagi mampu meneruskan kata-kata apabila mengenang kembali keadaan mangsa banjir yang kini bergantung sepenuhnya kepada langkah dan tindakan kerajaan wilayah.

“Semoga bantuan-bantuan sampai ke Aceh,” katanya sambil memohon maaf kepada Najwa kerana beremosi ketika itu. Najwa bagaimanapun menenangkan Muzakir dan menyatakan beliau saksi melihat pengorbanan Muzakir dalam membantu rakyat.

Baca juga:
Empat kawasan terjejas teruk

Menurut beliau, sebanyak 18 daerah di Aceh mengalami kerosakan serius akibat banjir bandang dan tanah runtuh yang melanda. Antara kawasan yang paling parah terjejas ialah Aceh Tamiang, Aceh Utara, Aceh Timur, Aceh Takengon dan sebahagian besar kawasan di Bireun yang kini lumpuh sama sekali. Keadaan ini menyebabkan usaha menyampaikan bantuan menjadi lebih mencabar.

Dalam keadaan sebak, Muzakir turut merayu agar lebih banyak bantuan digerakkan segera oleh kerajaan pusat, pertubuhan sukarelawan, NGO dan mana-mana pihak lain yang berkemampuan untuk membantu mangsa bencana di wilayah tersebut. Beliau menegaskan bahawa rakyat Aceh kini sangat memerlukan sokongan bagi membolehkan mereka meneruskan kehidupan dalam situasi bencana yang belum menunjukkan tanda-tanda pulih sepenuhnya.

Menerusi wawancara tersebut, Muzakir turut menyebut antara negara yang banyak membantu adalah dari Malaysia dan China dari segi perubatan dan rawatan.

Momen penuh emosi itu bukan sahaja mencerminkan beban besar yang digalas oleh seorang pemimpin ketika berdepan bencana, tetapi juga menggambarkan kesungguhan Gabenor Aceh dalam memastikan rakyatnya tidak diabaikan. Beliau juga mengulas kepimpinan Ketua Daerah ketika ditanya oleh Najwa.

“Mereka dipilih oleh rakyat, kenapa bila terjadi bencana ini mereka seperti acuh tak acuh, tak bertanggungjawab. Dalam keadaan macam ni ada yang lari ke Medan,karaoke la,” katanya.

Related Posts