‘Kalau ada usul undi tidak percaya, saya tunggu’ – PM Anwar | The Reporter

‘Kalau ada usul undi tidak percaya, saya tunggu’ – PM Anwar

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim berucap di hadapan penyokong sambil mengangkat tangan, dikelilingi pasukan keselamatan dan orang ramai.
Anwar Ibrahim menyambut sokongan orang ramai ketika hadir ke satu perhimpunan politik, diiringi sorakan dan kibaran bendera parti. | Kredit gambar: FATH RIZAL/Pejabat Perdana Menteri.

PM cabar ikut saluran sah, bukan main paksa tukar kerajaan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peringatan keras terhadap mana-mana pihak yang cuba mencabar prinsip Perlembagaan Persekutuan, khususnya usaha menjatuhkan kerajaan tanpa melalui saluran yang sah.

Berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri hari ini, beliau membidas cubaan mencetuskan kekacauan politik dan menyifatkannya sebagai melampaui batas demokrasi.

“Ada yang kata hendak suruh saya turun. Saya dengar kononnya ada ribuan peserta perhimpunan. Polis beri laporan, saya kata teruskan. Bukan maksud hendak halang,” ujarnya.

Perdana Menteri juga menegaskan beliau bersedia sekiranya pembangkang mahu mencabar kerajaan secara rasmi dalam sidang Parlimen.

“Apabila mereka sebut mahu paksa kerajaan bertukar, tidak mahu tunggu pilihan raya, itu sudah aneh.
Saya kata tidak mengapa. Saya beritahu Speaker, kalau ada usul undi tidak percaya pada hari pertama sidang Dewan Rakyat, saya tunggu,” tegas beliau.

Baca juga:

‘Nak kritik tak apa, tapi jangan cipta huru-hara’

Anwar mengakui bahawa sesiapa pun berhak untuk mengkritik prestasi seorang Perdana Menteri, namun sebarang desakan atau perubahan perlu dibuat secara demokratik.

“Kritik saya tidak ada masalah. Perdana Menteri ini tidak pandai urus negara dan patut diperbaiki, saya tak ada masalah. Harus rancang supaya ada orang lain lebih baik ganti, saya tak ada masalah. Tapi kalau dimulakan begini, mencetuskan huru-hara, tidak ada negara yang akan selamat,” katanya.

Beliau turut membidas kenyataan provokatif yang cuba menimbulkan rasa takut dan tidak stabil di kalangan rakyat, termasuk dalam perhimpunan tertentu yang berlangsung baru-baru ini.

“Saya ingatkan, sementara kerajaan bertolak ansur, kita akan bertegas apabila prinsip Perlembagaan dicabar. Saya harap keadaan kita aman. Nak dengki sebab apa, apa yang jadi?”

“Itu mantera yang diberikan termasuk di stadium di Kedah baru-baru ini,” katanya.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim | Kredit gambar: FATH RIZAL/Pejabat Perdana Menteri.

Anwar berkata mereka yang benar-benar mempunyai sokongan majoriti sepatutnya membuktikannya di Parlimen, bukan melalui tekanan jalanan.

“Tapi mereka tahu mereka tidak mampu. Insya-ALLAH, kita akan terus bertahan dengan sokongan kuat, dua pertiga majoriti. Kita tunggu pilihan raya. Tetapi mereka tidak mahu. Mereka mahu turunkan kerajaan sekarang. Ini sudah langgar prinsip Perlembagaan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa sebarang tindakan mencetuskan kekacauan akan menjejaskan kestabilan politik dan mencemarkan pencapaian negara.

“Kalau dimulakan begini, mencetuskan huru-hara, tak ada negara yang akan selamat. Semua rekod baik kita akan terpadam kalau tak jamin kestabilan politik,” ujarnya.

Sumber: Sinar Harian

Related Posts