Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang pelancong wanita dari China menarik perhatian ramai selepas berkongsi pengalaman menyentuh hati ketika dibantu oleh seorang lelaki tempatan di KL Sentral.
Dalam video yang dimuat naik di TikTok, wanita itu menceritakan detik cemas ketika dia terkial-kial mencari mesin tiket kerana tidak biasa dengan sistem pengangkutan awam di Malaysia. Dalam keadaan keliru dan keseorangan, tiba-tiba seorang lelaki tempatan datang menghampiri dan menawarkan bantuan tanpa diminta.
“Saya tidak tahu bagaimana nak membeli tiket tren dan sedang tercari-cari mesin menjual tiket,” katanya dalam video tersebut.
Tambahnya, lelaki itu bukan sahaja menunjukkan lokasi mesin tiket, malah menerangkan cara penggunaannya. Apa yang paling menyentuh perasaannya, lelaki itu telah berlalu pergi tetapi sanggup berpatah balik hanya untuk memastikan dia benar-benar faham langkah-langkah pembelian tiket.
“Saya sudah berjalan agak jauh, teteapi dia tetap kembali hanya untuk memastikan saya tahu cara menggunakan mesin itu.”
Selepas membantunya sehingga ke platform tren, lelaki tersebut meletakkan tangan di dada sambil tersenyum saat dia mengucapkan terima kasih, satu gerak isyarat yang disifatkannya sangat sopan dan penuh hormat.
“Sekiranya ada sesiapa yang ternampak dia di stesen, tolonglah sokong jika dia sedang menjual sesuatu. Dia benar-benar seorang yang insan yang baik.”
Video itu menerima pujian meluas daripada netizen yang rata-ratanya kagum dengan sikap prihatin dan budi bahasa rakyat Malaysia, serta menganggap kejadian itu sebagai cerminan nilai murni masyarakat tempatan.








