UAE labur RM47.5 juta dalam firma senjata Israel | The Reporter

UAE labur RM47.5 juta dalam firma senjata Israel

Pelaburan UAE dalam syarikat senjata Israel
Foto – The National News

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Syarikat teknologi pertahanan Emiriah Arab Bersatu (UAE), EDGE, mengumumkan pelaburan sebanyak $10 juta (RM47.5 juta) untuk membeli 30 peratus saham dalam syarikat Israel, Thirdeye Systems. Thirdeye terkenal dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk sistem elektro-optikal yang digunakan bagi mengesan dron dan pesawat tanpa pemandu.

Menurut Times of Israel, perjanjian ini masih menunggu kelulusan daripada Kementerian Pertahanan Israel. Thirdeye turut mendedahkan bahawa EDGE bersetuju menambah pelaburan sebanyak $12 juta (RM57 juta) bagi menubuhkan usaha sama untuk membangunkan serta memasarkan sistem pengecaman objek elektro-optikal ke pasaran baharu di luar negara.

Dalam usaha sama ini, EDGE akan memiliki 51 peratus pegangan, Thirdeye sebanyak 43 peratus, dan baki 6 peratus akan diberikan kepada pihak ketiga.

Ketua Pegawai Eksekutif Thirdeye, Lior Segal, berkata kerjasama ini membuktikan keupayaan teknologi syarikatnya dalam aspek keselamatan. “Bekerjasama dengan EDGE, sebuah pembekal global, akan membantu kami mengembangkan teknologi Thirdeye Systems ke lebih banyak negara,” katanya.

Presiden EDGE, Rodrigo Torres, pula menyatakan bahawa kerjasama ini memberi kelebihan kepada kedua-dua pihak dan mempercepatkan pembangunan sistem teknologi canggih.

Walaupun UAE menormalisasi hubungan diplomatik dengan Israel pada 2020, kebanyakan syarikat Emirati sebelum ini mengelak daripada bekerjasama secara terbuka dengan syarikat Israel, terutama sejak konflik di Gaza berlanjutan selama 15 bulan. Abu Dhabi secara rasmi mengecam tindakan ketenteraan Israel, namun hubungan diplomatik antara kedua-dua negara masih terjalin.

Thirdeye Systems merupakan pembekal utama kepada tentera Israel dan beberapa negara NATO, dengan kepakaran dalam teknologi pengesanan dron. Sejak konflik di Gaza bermula, nilai saham syarikat itu meningkat 51 peratus kepada 333.8 shekel Israel ($92.29 atau RM439), menurut data LSEG dan Reuters.

EDGE, syarikat pertahanan terbesar UAE yang dimiliki kerajaan, sebelum ini pernah bekerjasama dengan Israel Aerospace Industries (IAI) untuk membangunkan kapal tanpa pemandu bagi mengesan kapal selam. – Agensi

Related Posts