Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Tular di TikTok sebuah video perkongsian oleh pengguna @iamkayrashid yang memaparkan detik dirinya ditegur secara biadab oleh seorang kanak-kanak ketika sedang bersenam di gim yang terletak berhampiran kolam renang.
Insiden itu mendapat perhatian ramai netizen selepas wanita tersebut bertindak tegas mendidik kanak-kanak tersebut dengan keizinan ibunya yang berada berhampiran kawasan kolam.
Menurut perkongsian Kayra, insiden berlaku ketika dia sedang bersenam menggunakan peralatan gim yang terletak bersebelahan kolam renang. Tiba-tiba, seorang budak lelaki mengetuk-ngetuk cermin gim dari luar sekaligus mengganggu fokusnya.
Berasa terganggu, dia menoleh dan bertanya dengan nada tegas. Namun respon yang diterima amat mengejutkan apabila kanak-kanak tersebut membalas dengan menunjukkan isyarat jari tengah sambil mempamerkan wajah selamba.
Tindakan itu menyebabkan Kayra keluar dari gim dan terus ke kawasan kolam untuk mencari ibu budak tersebut. Terdapat tiga wanita di situ dan salah seorang mengaku itu adalah anaknya. Wanita tersebut tidak menghalang tindakan Kayra, sebaliknya membenarkan dia menegur sendiri anaknya.
Cuba mengelak dari memohon maaf
Kayra kemudian bertindak meminta kanak-kanak itu keluar dari kolam untuk menjelaskan perbuatannya. Pada mulanya, kanak-kanak tersebut mengelak dan memberi alasan bahawa rakannya yang menyuruh dia berbuat demikian.
Namun Kayra menegaskan supaya tidak menyalahkan orang lain atas perbuatan sendiri. Dia meminta kanak-kanak itu memohon maaf dengan cara beradab.
“Pandang muka kalau nak bercakap dengan orang,” katanya
Perkongsian itu menerima sokongan daripada ramai netizen yang memuji cara Kayra menangani situasi secara berhemah tetapi tegas. Ramai yang bersetuju bahawa sikap biadab kanak-kanak perlu ditegur segera dan ibu bapa wajar memainkan peranan dalam membentuk adab anak-anak.
Sumber : TikTok @iamkayrashid








