Duduk bertahun tapi tak bayar, tunggakan sewa PPR & PA dah RM70 juta! | The Reporter

Duduk bertahun tapi tak bayar, tunggakan sewa PPR & PA dah RM70 juta!

Datuk Bandar Kuala Lumpur bercakap kepada media isu tunggakan sewa PPR dan PA
Gambar: Facebook rasmi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Tunggakan sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) kendalian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini mencecah RM70 juta, sekali gus memberi tekanan besar kepada usaha penyelenggaraan serta pengurusan kemudahan untuk komuniti setempat.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif berkata, kekurangan kutipan sewa menyebabkan DBKL sukar menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada penduduk seperti pembaikan bangunan dan fasiliti awam.

“Langkah ini penting supaya hasil kutipan sewa dapat dikembalikan kepada penduduk dalam bentuk perkhidmatan yang lebih baik,” katanya dalam Program Kesejahteraan Komuniti Bandar Selamat ‘PPR Bestari’ di Desa Rejang.

Antara langkah yang telah diambil DBKL termasuk mengeluarkan notis, mengunci bekalan air, menganjurkan program advokasi kewangan dan menawarkan pelan rundingan bayaran kepada penyewa. Malah, satu pasukan khas dikenali sebagai Task Force Culas Sewa (TFCS) turut ditubuhkan bagi menangani isu tunggakan ini.

Walau bagaimanapun, pendekatan DBKL tidak bersifat menghukum secara terus.

“Kita laksanakan tindakan secara berperingkat, bukan terus keras. Kita mulakan dengan notis, beri advokasi dan baru kita pasang kunci air. Ia bertujuan untuk memastikan kutipan itu dapat disalurkan balik kepada penduduk sendiri,” katanya.

Beliau juga menyatakan, DBKL kini sedang mempertimbangkan semula keputusan pada 2015 yang membekukan penjualan unit PPR dan PA. Jika penyewa mempunyai kemampuan, mereka mungkin boleh membeli unit yang mereka diami.

“Memang pada 2015 telah ada satu keputusan untuk membekukan (penjualan), namun saya telah melihat semula keputusan itu dan jika penyewa betul-betul ada kemampuan, kita boleh menjualnya,” jelasnya.

Dalam sesi dialog bersama penduduk, beberapa isu lain turut dibangkitkan termasuk masalah kebersihan, kekurangan tempat letak kenderaan, penyalahgunaan dadah dan peniaga tanpa kebenaran yang beroperasi di kawasan perumahan.

Sumber: MalaysiaKini, Harian Metro

Related Posts