'Saya dan anak-anak tak pernah mengaku miliki RM1.2 bilion' - Tun M persoal dakwaan Anwar | The Reporter

‘Saya dan anak-anak tak pernah mengaku miliki RM1.2 bilion’ – Tun M persoal dakwaan Anwar

Tun Mahathir persoal dakwaan Anwar tentang kekayaan RM1.2 bilion.
Gambar: The Straits Times.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyangkal kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa beliau dan anak-anaknya memiliki kekayaan luar biasa.

Menurut Dr Mahathir, Anwar dalam satu kenyataan di Jakarta telah memetik angka kononnya beliau atau anak-anaknya memiliki kekayaan mencecah RM1.2 bilion dan RM4 bilion, sedangkan tiada sebarang pengakuan pernah dibuat mengenainya.

“Anwar menyatakan di Jakarta, ‘jika mereka sendiri mengaku, bukan sebagai tuduhan tetapi sebagai pengakuan bahawa saya (Mahathir) atau anak saya memiliki RM1.2 bilion dan seorang lagi RM4 bilion, maka wang itu perlu dipulangkan. Kecuali mereka boleh jelaskan dengan jelas dari mana wang itu datang’.

“Saya tidak pernah mengaku dan saya sudah jelaskan dari mana datangnya kekayaan saya,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

https://twitter.com/chedetofficial/status/1952627417522270638
Baca juga:

Mengulas lanjut, Dr Mahathir mempersoalkan dari mana datangnya angka-angka tersebut kerana siasatan lengkap telah pun dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki.

“Azam menyatakan, Mokhzani mengisytiharkan harta berjumlah sekitar RM1 bilion manakala Mirzan mengisytiharkan RM246.2 juta kepada SPRM. Azam turut menyatakan SPRM berpuas hati dengan pengisytiharan tersebut,” jelasnya.

Namun begitu, beliau mempersoalkan sama ada SPRM benar-benar mengetahui sumber kepada kekayaan itu dan adakah siasatan turut melibatkan asal-usul kekayaan yang diisytiharkan.

“SPRM telah menyoal siasat anak-anak saya banyak kali dan dalam tempoh yang lama. Adakah SPRM bertanya tentang sumber kekayaan yang diisytiharkan itu?

“Azam tidak bercakap mengenai wang tunai. Apa yang disebut ialah nilai keseluruhan harta, termasuk aset, saham, liabiliti dan sebagainya yang dikumpul dalam tempoh lebih 20 tahun menjalankan perniagaan. Aset-aset seperti ini memang meningkat nilainya dari semasa ke semasa,” katanya.

Persoal motif dakwaan

Tambah Dr Mahathir, tidak timbul soal pengakuan terhadap jumlah kekayaan yang disebut oleh Anwar, kerana angka yang dilaporkan oleh SPRM adalah berbeza dan telah disahkan. Beliau juga mempertikai motif Anwar yang seolah-olah mahu memaksa mereka menyerahkan segala harta kepada kerajaan.

“Saya dan anak-anak saya tidak pernah mengaku memiliki RM1.2 bilion atau RM4 bilion. SPRM menyatakan bahawa Mokhzani memiliki kekayaan bernilai RM1 bilion dan Mirzan RM246.2 juta dan SPRM berpuas hati dengan pengisytiharan itu.

“Adakah Anwar mahu kami menjual semua harta dan menyerahkan hasilnya kepada kerajaan? Atas dasar apa beliau membuat tuntutan ini?,” soalnya.

Demonstrasi 26 Julai

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut menyentuh mengenai demonstrasi yang diadakan pada 26 Julai lalu, yang menurutnya bukanlah bertujuan menyokong beliau atau anak-anaknya, sebaliknya suara rakyat yang kecewa terhadap kepimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Demonstrasi itu bukan untuk menyokong saya atau anak-anak saya. Ia adalah desakan rakyat supaya Anwar berundur kerana mereka merasakan pentadbirannya menyebabkan kesengsaraan.

“Jika beliau yakin rakyat masih menyokongnya, bubarkan Parlimen dan adakan pilihan raya umum. Yang berdemonstrasi bukan Ahli Parlimen. Jadi usul di Parlimen tidak relevan,” katanya.

Related Posts