Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Tun Dr Mahathir Mohamad menzahirkan kebimbangan terhadap perkembangan semasa dalam sistem perundangan dan pentadbiran negara menerusi satu hantaran bertajuk “REFORMASI (Nasi Basi)” yang dimuat naik di Facebook dan blog peribadinya pada 17 Julai 2025.
Dalam kenyataan ringkas tetapi padat dengan nada sinis, bekas Perdana Menteri itu mempersoalkan beberapa isu utama termasuk kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara dan kemungkinan lebih 30 jawatan hakim tidak diisi yang disifatkannya sebagai perkembangan luar biasa dalam sejarah kehakiman negara.
Isu pemilihan hakim & kebocoran dokumen
Mahathir turut menyentuh tentang dakwaan kebocoran dokumen berkaitan pemilihan hakim. Beliau mempersoalkan logik tindakan terhadap individu yang membocorkan maklumat jika kandungan dokumen itu sendiri dikatakan tidak sahih.
“Kalau tidak betul, kenapa nak bertindak kepada pembocor? Kut betul kut,” katanya.
Baca juga:
- ‘Saya menentang mana-mana kerajaan tebuk atap’ – Dr Akmal Saleh
- Sim gesa BN Negeri Sembilan hormati objektif penubuhan Kerajaan Perpaduan
- PN Negeri Sembilan sedia bekerjasama dengan BN
‘Jangan politikkan?’
Dalam bahagian yang lebih bersifat sindiran, Mahathir menyentuh larangan untuk “mempolitikkan” isu-isu tertentu termasuk pemilihan hakim, dokumen tambahan (addendum) dan pemilikan saham strategik. Beliau menyindir pihak yang mendesak orang ramai diam dalam isu-isu besar ini, seolah-olah mahu menutup perbincangan awam sambil mereka sendiri terlibat dalam tindakan berunsur politik.
“Hey, jangan politikan pilihan hakim kita disuruh. Jangan politikan addendum. Jangan politikan share MAHB,” tulis Mahathir dalam nada yang menyindir percubaan untuk menutup mulut pengkritik.
Beliau turut membangkitkan larangan menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja) serta menggambarkan keadaan di mana kebebasan bercakap semakin disekat. Bukan sahaja di luar, bahkan juga di Parlimen.
‘Jeritlah reformasi, sambil pasang tali di hidung rakyat’
Mahathir mengkritik tindakan yang berlaku atas nama reformasi, termasuk penahanan tanpa pertuduhan dan rampasan harta tanpa sebab yang jelas. Beliau menyifatkan situasi ini sebagai bertentangan dengan prinsip keadilan dan membayangkan wujudnya penyalahgunaan kuasa.
Katanya, rakyat seolah-olah disuruh diam dan menurut tanpa persoalan: “Lekat plaster di mulut. Cucuk hidung, pasang tali heret ikut suka hati. Ini sebahagian dari REFORMASI.”
Hantaran itu diakhiri dengan nada sinis yang mencerminkan kekecewaannya terhadap perkembangan semasa: “Wow! Reformasi memang great. Jeritlah REFORMASI.”




